Home / Lain - Lain / #AUG2018 Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia Ke Kejohanan Sukan Universiti ASEAN Ke–19

#AUG2018 Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia Ke Kejohanan Sukan Universiti ASEAN Ke–19

Kontinjen Malaysia Sukan Universiti ASEAN 2018 | Salehuddin Mohamed : Bahagian Sukan KPM

KUALA LUMPUR, 4 DISEMBER 2018 – YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Kejohanan Sukan Universiti ASEAN ke–19 hari ini.

Sebanyak 16 acara sukan bakal disertai kontinjen negara di Kejohanan Sukan Universiti Asean (AUG) 2018 yang akan berlangsung pada 9 hingga 20 Disember 2018 bertempat di Naypyitaw, Myanmar yang turut disertai 10 negara ASEAN yang lain. Kontinjen Malaysia akan diketuai oleh YH. Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Bin Zainuddin yang juga merupakan Timbalan Naib Canselor (HEPA), Universiti Malaysia Pahang dan mempunyai kekuatan kontinjen seramai 279 orang atlet dan 103 orang pegawai yang akan menyertai kejohanan edisi kali ini.

Kontinjen Malaysia mensasarkan sekurang-kurangnya 35 pingat emas di AUG 2018 melalui beberapa acara sukan seperti olahraga, renang, karate, memanah dan wushu serta memperbaiki pencapaian tempat ketiga secara keseluruhan pada tahun 2016.

Kontinjen negara pada tahun ini juga turut diperkuatkan dengan beberapa orang atlet berprofil tinggi negara yang disandarkan untuk memenangi pingat seperti Zaidatul Husniah Zulkifli (Universiti Putra Malaysia), Muhammad Hakimi Ismail (Universiti Putra Malaysia), Muhamad Irfan Shamsuddin (Universiti Malaya) daripada acara Olahraga, Syakilla Salni Jefry Krisnan (Taylor’s University), Emmanuel Leong Theng Kuang (Politeknik Seberang Perai) daripada acara Karate yang juga merupakan pemenang pingat Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

KPM komited untuk menghantar atlet yang bukan sahaja mampu cemerlang dan memenangi pingat di AUG 2018 malah seterusnya menjadi bintang sukan masa depan negara.