Home / Badminton / LionMas juara sulung SPLC 2019

LionMas juara sulung SPLC 2019

Pasukan LionMas meraikan kejuaraan Senheng Purple League Corporate 2019 (SPLC2019) selepas menerima trofi kejuaraan daripada Timbalan Menteri Belia & Sukan, YB Steven Sim Chee Keong (tengah, berbaju kemeja biru gelap) di Sports Arena Sentosa hari ini.

KUALA LUMPUR (17 NOVEMBER 2019):  LionMas membuktikan mereka bukan saja hebat di arena korporat tetapi juga di gelanggang sukan apabila muncul juara sulung Senheng Purple League Corporate (SPLC) 2019 dengan menundukkan TopGlove 9-4 pada final di Sports Arena Sentosa hari ini.

LionMas bermula garang di final apabila Goh Ting Yu tidak menghadapi masalah mengenepikan cabaran Lim Jihn Yih dari Top Glove, 3-0 (11-5, 11-0, 11-3)  dalam perseorangan lelaki.

Aksi pemain perseorangan lelaki LionMas, Goh Ting Yu dalam saingan Final SPLC2019 di mana dia memberi mata awal kepada pasukannya apabila menewaskan Lim Jihn Yih dari Top Glove 3-0 (11-5, 11-0, 11-3) di Sports Arena Sentosa petang tadi

Gandingan beregu lelaki, Lee Yew Wah-Ti Kian Kok menjadi kunci kepada kejayaan LionMas apabila mengejutkan pasangan yang menampilkan bekas pemain kebangsaan, Ismail Saman dan James Koh, 11-10, 11-10, 10-11, 11-10 untuk menjarakkan pendahuluan mereka kepada 6-1.

Ng Sin Er-Ng Sin Zou menyalakan api perjuangan Top Glove dengan kejayaan 3-0 (11-7,11-7, 11-7) ke atas gandingan LionMas, Chua Cheah Lin-Dharshana Haridass dalam beregu wanita. Namun ia sekadar melambatkan kesudahan jalan cerita apabila Lee Zhi Yinn-H’Ng Choon Leng meletakkan pertembungan ini di luar jangkauan  Top Glove menerusi kemenangan 3-0 (11-7, 11-4, 11-5) ke atas Liaw Suk Quan-Shafiq Mattar dalam beregu campuran.

Dengan jurang mata yang tidak mampu digugat, aksi beregu lelaki (gabungan umur 80 & ke atas) seterusnya tidak perlu dilangsungkan dengan LionMas sah dinobat selaku juara sekaligus menerima habuan wang tunai, RM50,000 manakala Top Glove membawa pulang  RM25,000.

Dalam penentuan tempat ketiga/keempat, redPHOENIX terlalu sukar buat Team AIG, apabila meraih kemenangan menyakinkan 10-4 untuk membawa pulang RM15,000 dengan Team AIG berpuas hati dengan RM10,000.

“Kami teruja kerana berjaya memenangi SPLC yang julung kali diadakan ini. Pada awalnya, kami tidak menyangka bahawa kami mampu mengejutkan barisan yang menampilkan pemain kebangsaan.

“Tetapi itu yang berlaku apabila beregu lelaki kami berjaya mengejutkan gandingan yang menampilkan pemain kebangsaan (Ismail Saman, bekas perseorangan lelaki negara).

“Kami tidak boleh terlalu dibuai-buai dengan kejayaan ini dan perlu meningkatkan usaha kami bagi mengekalkan kejuaraan kami tahun depan,” kata pengurus pasukan, Saw Tze Liang.

Hadiah disampaikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Steven Sim Chee Keong yang memuji penganjuran SPLC sebagai  platform untuk meneruskan kelangsungan kerjaya seseorang atlit selepas persaraan mereka.

“Liga korporat ini adalah platform terbaik bagi kelangsungan seseorang atlit selepas tamatnya kerjaya mereka.

“Syarikat korporat boleh mengambil mereka sebagai jurulatih atau menyerap mereka sebagai warga kerja. Mereka juga tidak terikat sebagai atlit dan boleh mencuba kerjaya lain menerusi pelbagai bidang yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi,” katanya.

Sebagai juara sulung SPLC, LionMas, syarikat pengeluar barangan elektrik terkemuka di negara ini turut meraih slot playoff untuk melayakkan diri ke edisi liga badminton profesional elit tempatan – Purple League 2020.

Terdahulu, pada sesi pagi, LionMas mudahTeam AIG menerusi tiga kemenangan  3-0 berturut-turut dalam perseorangan lelaki, beregu lelaki pertama dan beregu wanita untuk menempah tiket mereka ke perlawanan akhir manakala Top Glove membenam redPHOENIX 10-7.

Lapan badan korporat tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian dalam kejohanan yang julung kali diadakan ini iaitu Pensonic, LionMas, redONE (redPHOENIX), SenQ, OPPO, Top Glove, AEON Credit Service dan AIG.

Keputusan Perlawanan Hari Terakhir SPLC2019 (17/11/2019)

Separuh Akhir

redPHOENIX 7-10 Top Glove

LionMas 9-0 Team AIG

Penentuan ke-3/4

redPHOENIX 10-4 Team AIG

Final LionMas 9-4 Top Glove