Home / Bola Sepak / #LIGA SUPER – Selangor mengubat luka, Pahang terus sengsara.

#LIGA SUPER – Selangor mengubat luka, Pahang terus sengsara.

R Gopinanthan cuba melakukan percubaan ke arah pintu gol Pahang. Gambar oleh Haizal Zainal / CSN

R Gopinanthan cuba melakukan percubaan ke arah pintu gol Pahang. Gambar oleh Haizal Zainal / CSN

SHAH ALAM, 11 Ogos 2016 : Pasukan yang baru hilang kemudi, Selangor Darul Ehsan turun menentang Pahang di Stadium Shah Alam kelmarin. Turun tanpa kelibat Razman, Hafiz Kamal, Raimi, Norazlan Razali, Mauro Olivi dan Ugo Ukah yang langsung tidak disenaraikan dalam senarai pemain, jurulatih sementara Selangor K. Gunalan dilihat melakukan beberapa perubahan dengan meletakkan pemain yang jarang beraksi seperti S. Subramaniam dan Rizal Fahmi. Kelibat Andik Vermansyah dilihat kembali membarisi kesebelahan Selangor dan dipilih sebagai ketua pasukan buat pertama kali.

10 Minit pertama kedua-dua pasukan lebih banyak berlegar di kawasan tengah sehinggalah satu cubaan berbahaya dari pemain Pahang, Faysal Shayesteh dari luar kotak penalti namun Khairul Azhan tenang mendakap kemas. Selangor mendapat sepakan percuma pada minit ke 35 namun sepakan lencong Azmi Muslim berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Pahang Mohd Helmi Eliza. Serangan Selangor tidak terhenti di situ apabila asakan berterusan mereka akhirnya memaksa pertahanan Pahang menjatuhkan Andik Vermansyah dan Selangor dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke 36 untuk mudah disudahkan oleh Patrick Ronaldinho.

Masuk babak kedua, kelincahan Andik sering membuatkan pertahanan Pahang kucar kacir. Dengan kelincahan R. Gopinathan benteng pertahanan Pahang terus diuji. Minit ke 63 menyaksikan Saiful Ridzuwan Selamat membuat satu hantaran terus ke kawasan Pahang dan ianya memberi ruang R. Gopinathan membuat larian solo sebelum melorongkan ke Patrick Rondinho untuk mudah menolak masuk untuk gol kedua Selangor.

Sejurus selepas gol itu Razip Ismail memasukkan R. Dinesh untuk memantapkan pasukan Pahang. Namun Pasukan Pahang yang beraksi dengan 4 pemain importnya terus tenggelam dengan permainan penuh bersemangat dari kesebelasan pemain Selangor. Andik hampir menambah jaringan apabila pertahanan Pahang tersilap membuat hantaran kebelakang yang singgah di kaki Patrik Ronaldinho yang terus melorongkan kepada Andik, namun sepakan Andik sedikit meleret tepi tiang gol kiri Pahang.

Selangor terus ghairah untuk menghukum Pahang apabila minit ke 80 Patrick meledak jaringan hatrik beliau untuk terus meletakkan Pahang dalam sengsara.

Tamat perlawanan menyaksikan Selangor bermain dengan lebih tersusun dan lebih bernafsu berbanding di bawah rejim Zainal yang banyak menggunakan hantaran jauh dan kerap kali menggunakan pemain sama tetapi bertukar-tukar posisi. Pendekatan yang digunakan oleh K. Gunalan dengan merehatkan pemain utama dianggap tepat selari dengan kepadatan jadual liga. Dengan setiap pasukan dibenarkan mendaftar lebih dari 18 pemain, pelan penggiliran pemain-pemain dianggap tepat dan mampu mengketengahkan pemain dibangku simpanan dan memberi peluang kepada bakat-bakat baru dalam liga kita.

Oleh Hisyam Rahman