Home / Hoki / LIGA HOKI TNB MHL 2020 : GILIRAN TENAGA NASIONAL PIMPIN CARTA LIGA

LIGA HOKI TNB MHL 2020 : GILIRAN TENAGA NASIONAL PIMPIN CARTA LIGA

Saingan Liga Hoki TNB MHL 2020 semakin rancak apabila giliran pasukan Tenaga Nasional (TNB) pula memimpin kedudukan teratas carta liga.

Kemenangan besar 6-0 TNB keatas pendatang baru Hockademy KL menyaksikan skuad kendalian Nur Saiful Zaini Nasirudin ini mengumpul 12 mata penuh.

Hanya kelebihan jaringan memihak kepada TNB dengan pasukan di tangga kedua UniKL turut melakar kemenangan keempat menewaskan TNB Thunderbolts 4-2.

Sementara pasukan Terengganu Hockey Team (THT) dipaksa bekerja keras sebelum melakar kemenangan 5-3 mengatasi UiTM.

Reputasi kedua-dua pasukan Hockademy KL dan TNB menyaksikan pertemuan kedua-dua pasukan antara yang menjadi tumpuan.

TNB yang dibarisi sepenuhnya pemain tempatan jelas lebih bertenaga apabila mendahului suku pertama 2-0 hasil jaringan  jaringan padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal serta Mohamad Akhimullah Anuar Esook berikan pendahuluan selesa pada suku pertama.

Azrai Aizad kemudian menambah satu lagi jaringan disusuli pukulan sudut padang oleh Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan dan Muhammad Arif Syafie Ishak terus menjarakkan kedudukan buat TNB.

Kemenangan besar TNB dilengkapkan dengan jaringan peribadi kedua oleh Akhimullah pada minit ke-41 bagi memastikan tiga mata penuh buat pasukannya.

Satu lagi perlawanan menyaksikan Terengganu Hockey Team (THT) peroleh kemenangan 5-3 ke atas UiTM di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur.

THT dibantu dengan permainan kemas tonggak importnya, Jang Jong Hyun yang sekali lagi meledak hatrik di samping gandingan adik-beradik Faizal dan Mohd Fitri Saari yang masing-masing peroleh satu jaringan.

Manakala UiTM memperoleh jaringan menerusi Danial Asyraf Abdul Ghani, Mohamad Zulhamizan Awang Abas dan Muhammad Luqman Hakim Mohamad Asri.