Home / Hoki / LIGA HOKI MALAYSIA 2020 : MAYBANK CATAT KEMENANGAN BERGAYA MENGATASI KEDAH NUR INSAFI

LIGA HOKI MALAYSIA 2020 : MAYBANK CATAT KEMENANGAN BERGAYA MENGATASI KEDAH NUR INSAFI

Turut berlangsung perlawanan kategori lelaki mempertemukan Maybank menentang Kedah Nur Insafi.

Pesta gol turut menjelma pada perlawanan ini apabila Maybank gah membenam Nur Insafi dengan kemenangan 9-3.

Seawal minit ke-3 Maybank sudah memecah kebuntuan menerusi jaringan Mohd Nor Ashraf Ishak diikuti gol padang oleh Mohd Haziq Samsul tiga minit berselang sebelum Ashraf menjadikan kedudukan 3-0 seminit sebelum suku pertama tamat.

Dua minit sebaik permainan bersambung Maybank terus melebarkan kedudukan menjadi 4-0 namun dibalas Nur Insafi seminit berselang hasil jaringan padang.

Bagaimanapun Maybank terus menguasai permainan dengan Haziq menggandakan jaringan peribadinya pada minit ke-19.

Amirullah Zainol menjadikan kedudukan 6-1 memihak kepada Maybank tamat aksi suku pertama.

Nur Insafi mempamerkan kebangkitan pada suku ketiga selepas Rahul berjaya menjaringkan gol kedua pasukan pada minit ke-41.

Namun Hafifi Hafiz Hanafi tidak melepaskan peluang menjadikan kedudukan 7-2 tiga minit berselang sebelum Rahul merakam hatrik buat Nur Insafi dengan kedudukan semasa 7-3 tamat suku ketiga.

Suku terakhir Maybank tidak lagi memberi ruang dengan Hafifi Hafiz berjaya menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-47.

Haziq turut melakar hatrik bagi pihak Maybank menerusi jaringan pada minit ke-58 sekaligus memuktamadkan kemenangan besar buat pasukannya mengatasi Nur Insafi.