Home / Bola Sepak / LIGA AMATUR BOLA SEPAK MALAYSIA (AFL) BATALKAN SAINGAN LIGA M3 DAN LIGA M4 MUSIM 2020

LIGA AMATUR BOLA SEPAK MALAYSIA (AFL) BATALKAN SAINGAN LIGA M3 DAN LIGA M4 MUSIM 2020

Saingan Liga M3 dan M4 pada musim ini menemui titik nokhtah apabila Liga Bola Sepak Amatur Malaysia (AFL) mengambil keputusan untuk membatalkannya demi kebaikkan kelab amatur tempatan dalam mengharungi pandemik Covid-19.

Liga M3 dan Liga M4 menerima nasib yang sama seperti Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Premier Futsal Malaysia untuk musim 2020 selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membatalkannya Isnin lalu.

Pengerusinya Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi memaklumkan keputusan untuk membatalkan saingan Liga M3 dan M4 musim ini berpandukan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dengan kebanyakan perlawanan Liga M3 dan M4 yang bermain di venue secara terbuka ianya pasti menyukarkan perlaksanaan SOP bagi pengelolaan perlawanan khususnya dalam memantau pergerakan individu selepas MKN tidak membenarkan sebarang perhimpunan besar.

Malah kekangan kewangan Liga M3 dan M4 yang terhad untuk mengikuti SOP atau peralatan yang diwajibkan MKN dan KKM bagi proses saringan Covid-19 seperti cecair pembasmi kuman atau alat pengimbas suhu badan turut diambil kira memandangkan ia menambahkan perbelanjaan pasukan tuan rumah.

AFL kini sedang merancang mekanisme terbaharu dan terbaik bagi membantu perjuangan kelab-kelab berstatus amatur ini dapat diteruskan pada tahun hadapan.

Penamatan kontrak atau perjanjian pemain atau pegawai pasukan harus mematuhi undang-undang negara mengikut akta akta kontrak dan mendapat persetujuan bersama antara kedua-dua pihak dan diwajibkan membayar minimum 25% dari jumlah baki kontrak pemain berstatus profesional dalam pasukan Liga M3.