Home / Lain - Lain / LAPANGAN PUTRA PAINTBALL PARK BAKAL MERIAHKAN ARENA SUKAN EKSTREM NEGARA

LAPANGAN PUTRA PAINTBALL PARK BAKAL MERIAHKAN ARENA SUKAN EKSTREM NEGARA

Sukan Paintball kembali merancakkan sukan negara selepas sukan ekstrem itu dihentikan susulan isu akta senjata api sebelum ini.

Selepas keputusan paintball marker tidak dikawal selia di bawah Akta Senjata 1990 ia pastinya memberi kelegaan kepada peminat sukan ekstrem tersebut untuk kembali aktif.

Kesempatan itu dimanfaatkan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang melancarkan lapangan paintball dalam kawasan kampus mereka di Serdang.

Lapangan Putra Paintball Park yang mengikut spesifikasi antarabangsa ini terletak bersebelahan Kolej Pendita Za’ba dengan anggaran kos pembinaan mencecah RM20,000 yang mula dibina pada Januari dan siap sepenuhnya pertengahan Ogos lalu.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata selain digunakan sebagai aktiviti riadah sukan paintball juga bakal dijadikan sebagai subjek rekreasi yang mempunyai ko-kurikulum berkredit.

“Saya pasti sukan ini bukan sahaja dapat merapatkan hubungan diantara pelajar tetapi juga boleh memberi impak positif dari segi program-program yang akan dilaksanakan oleh Pusat Sukan atau Bahagian Hal Ehwal Pelajar.

Sukan paintball merupakan sukan strategik yang memerlukan “critical thinking” dah juga kerja berkumpulan”, ujar Prof. Dr. Mohd Roslan pada majlis perasmian.

Sempena perasmian lapangan ini UPM turut melancarkan kelab paintball yang dinamakan Putra Vanguard.

Sukan paintball bakal merancakkan kembali sukan lasak di Malaysia atas inisiatif UPM menyediakan fasiliti bertaraf antarabangsa yang bakal memberi manfaat kepada siswa dan siswi UPM malahan juga dibuka kepada orang ramai bermula tahun hadapan.