Home / Bola Sepak / KUOTA 4 PEMAIN IMPORT UiTM FC BAKAL LENGKAP MINGGU HADAPAN

KUOTA 4 PEMAIN IMPORT UiTM FC BAKAL LENGKAP MINGGU HADAPAN

Lambakan pemain import dalam sesi pemilihan pemain UiTM FC nampaknya tidak diendahkan Ketua Jurulatih baharu Frank Bernhardt.

Bekas jurulatih pasukan B23 negara itu hanya memerlukan pemain import yang benar-benar berkualiti bagi memperkuatkan pasukannya yang pertama kali beraksi di pentas Liga Super musim ini.

Walaupun sudah 15 pemain import hadir mencuba nasib untuk mewakili UiTM FC, Bernhardt nampaknya cukup berhati-hati dalam pemilihan pemain import buat pasukannya.

Antara pemain import yang hadir mencuba nasib dua dari Australia dan Sweden.

Faktor kecergasan dan fizikal kedua-dua pemain tampak tidak meyakinkan Bernhardt.

Bagi Bernhardt dia bersama barisan kejurulatihan yang turut ditunjangi Wan Mustafa Wan Ismail akan berusaha melengkapkan 4 kuota pemain import minggu hadapan.

Ketika saingan liga akan bermula 28 Februari nanti, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagaimana pun menetapkan pendaftaran pertama pemain sama ada import atau pemain tempatan boleh dilakukan selewat-lewatnya 5 Mac depan.

Selain itu perlantikan Frank Bernhardt selalu ketua jurulatih baharu bagi UiTM FC dilihat bakal membuka peluang buat Muhammad Danish Haziq Saipul Hisham untuk beraksi di pentas Liga Super.

Muhammad Danish sebelum ini mewakili negeri kelahirannya iaitu Negeri Sembilan dan pemain berusia 23 tahun itu pernah bersama Bernhardt ketika beraksi bersama skuad B23 tahun negara pada 2016.

Selain Muhammad Danish Haziq kebanyakkan pemain UiTM FC merupakan pelajar dari UiTM itu sendiri. Mereka sudah lama mewakili pasukan itu termasuk pelajar tahun akhir Ijazah Ekonomi Muhammad Faizal Mohd Arif.

Sebagai rekod UiTM FC muncul institusi pengajian tinggi pertama yang layak beraksi dalam saingan Liga Super dan lebih manis pencapaian itu diiktiraf dalam Malaysia Book Of Record.