Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan edisi ke-41 melabuhkan tirai di Stadium Juara Bukit Kiara menyaksikan Kuala Lumpur mempertahankan kejuaraan dengan menewaskan Perak 53-35.
Manakala Johor meraih tempat ketiga selepas berhempas pulas menewaskan Terengganu dengan hanya kelebihan tiga mata 53-50.
Turun selaku pasukan pilihan Kuala Lumpur unggul mendominasi perlawanan walaupun Perak memberi saingan pada suku pertama dengan kedudukan 16-13.
Kuala Lumpur terus mengawal perlawanan apabila menamatkan suku kedua 32-21.
Skuad kendalian Norizan Rajab itu jelas tidak berdepan masalah untuk mengekang serangan pihak lawan apabila terus melebarkan mata meletakkan Kuala Lumpur di hadapan dengan kedudukan 44-26.
Kuala Lumpur akhirnya berjaya mempertahankan kejuaraan juga gelaran kali ketiga berturut-turut dengan kemenangan 53-35.
Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Terengganu menentang Johor nyata lebih sengit apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam setiap suku perlawanan.
Namun kelebihan lebih memihak kepada Terengganu pada dua suku awal apabila mendahului 15-13 dan 30-26.
Suku ketiga lebih mendebarkan apabila Johor bangkit merapatkan kedudukan 40–39.
Kesungguhan Johor nyata terus memberi tekanan buat Terengganu yang akhirnya akur dengan kemenangan berpihak Johor 53-50 sekaligus mengekalkan kedudukan ketiga tahun lalu.
PPingat dan trofi disampaikan oleh Suhaimi Sun selaku Timbalan Pengarah Sukan kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia.