Home / Hoki / KOMITMEN YANG TINGGI DITUNTUT DARIPADA PEGAWAI PENYELARAS NHDP NEGERI

KOMITMEN YANG TINGGI DITUNTUT DARIPADA PEGAWAI PENYELARAS NHDP NEGERI

Jawatankuasa Pembangunan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) telah melengkapkan sesi temuduga bagi jawatan yang cukup penting dalam menggerakkan program pembangunan di peringkat negeri di mana kesemua calon bagi jawatan Pegawai Penyelaras Negeri, Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) telah melepasi proses pemilihan pertama.

Seramai 24 calon daripada 14 negeri yang bernaung di bawah KHM telah ditemuduga dan proses seterusnya adalah penilaian dalaman akan dijalankan di mana proses tersebut melibatkan wakil daripada KHM, Jawatankuasa Pembangunan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas, untuk memilih calon yang layak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan KHM, Prof. Dato’ Dr. S. Shamala nyata berpuas hati dengan sesi yang telah dijalankan di mana calon-calon yang telah ditemuduga menunjukkan minat yang tinggi untuk menggalas tugas tersebut sekaligus membantu menggerakkan program pembangunan di negeri mereka.

“Saya sangat gembira dengan sesi yang telah berakhir dan berpuas hati dengan sesi temuduga tersebut di mana calon-calon yang memohon jawatan sebagai Pegawai Penyelasa Negeri adalah mereka yang mempunyai pengalaman yang cukup baik dalam sukan hoki.

“Namun ia bukan satu jawatan yang mudah kerana sesiapa yang menggalas tugas ini perlu menjadi individu yang bertanggungjawab untuk menyampaikan semua ilmu-ilmu daripada peringkat kebangsaan ke peringkat akar umbi di negeri mereka.

“Jadi individu yang memegang jawatan ini nanti perlu menunjukkan komitmen yang sangat tinggi selain perlu komited dengan apa yang mereka lakukan supaya pembangunan di peringkat akar umbi di negeri mereka berjalan dengan cukup baik,” jelas Prof. Dato’ Dr Shamala yang juga merupakan Timbalan Presiden KHM.

KHM menjangkakan proses penilaian dalaman bagi memilih calon yang berjaya untuk menjawat jawatan tersebut akan dijalankan pada 4 November iaitu Rabu hadapan.