Home / Lain - Lain / KLSC bakal menjadi ‘Wembley Malaysia’

KLSC bakal menjadi ‘Wembley Malaysia’

Orang ramai bakal nikmati suasana seperti berada di Stadium Wembley London apabila berada di Stadium Nasional Bukit Jalil tidak lama lagi.

Itu antara rancangan yang bakal dilaksanakan oleh Perbadanan Stadium Malaysia bersama FAM yang akan diumumkan selewat-lewatnya bulan depan.

Ketika ini pihaknya sedang memuktamadkan beberapa butiran dalam usaha menjadikan tempat tersebut Wembley Malaysia.

Stadium Nasional, Bukit Jalil dan Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC) akan menjadi seperti ‘Wembley Malaysia’ dengan menganjurkan lebih banyak acara yang mampu menjana pendapatan Perbada­nan Stadium Malaysia (PSM).

Menampilkan moto baharu ‘KL Alive’ (Kuala Lumpur Yang Hidup), misi terdekat PSM ialah menjadikan Stadium Nasional sebagai gelanggang rasmi skuad kebangsaan menerusi kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bulan depan.

“KLSC juga perlu hidup setiap hari dengan adanya restoran, pawagam kecil serta kedai,” kata Pengerusi PSM, Tan Sri Tony Fernandes.

Kata Tony, PSM yang diterajuinya sejak tujuh bulan lalu akan turut merintis idea penjualan kotak korporat kepada sektor swasta yang berminat memaparkan iklan pada hari kejohanan atau acara lain di KLSC.