Home / Bola Sepak / KLFA Bayar Gaji sebelum Raya

KLFA Bayar Gaji sebelum Raya

KLFA
04 Aug 2013 KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) berjanji akan membayar tunggakan gaji pemainnya namun cuma sebulan sebelum hari raya.
Setiausaha KLFA, Nokman Mustaffa berkata, pihaknya hanya mampu membayar tunggakan sebulan daripada empat bulan gaji yang belum dilunas kepada pemain sejak April lalu. Beliau berkata, KLFA mengalami masalah kewangan ekoran tindakan penaja yang menarik diri. Menurutnya, pihaknya juga turut meminta bantuan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membantu mereka menyelesaikan masalah kewangan, yang menyebabkan pemain skuad warga kota sudah empat bulan tidak menerima gaji.
 “Kami akan membayar gaji kepada pemain tetapi ia adalah tunggakan gaji bulan April dan perkara ini telah dimaklumkan kepada pemain,” katanya dihubungi, semalam.
Kelmarin, pemain KLFA mendedahkan mereka tidak menerima gaji sejak empat bulan lalu. Malah pemain yang enggan identitinya didedahkan itu turut kecewa dengan sikap KLFA yang terus membisu apatah lagi menjelang Aidilfitri.
Dua musim lalu, KLFA berdepan masalah yang sama bermula pada 2011 apabila ada pemain mendakwa gaji mereka tidak dibayar selama tiga bulan. Musim lalu FAM hampir melarang mereka daripada beraksi dalam saingan Liga Malaysia atas masalah yang sama.
Tahun lalu, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM menjelaskan mereka akan memantau transaksi gaji pemain setiap pasukan dan pasukan yang gagal melunaskan tunggakan selepas dua kali diberi amaran berdepan hukuman gantung daripada bermain. Ekoran kegagalan membayar gaji berkenaan, banyak desas-desus yang mengatakan pemain Kuala Lumpur menjual perlawanan selepas beberapa keputusan yang menyaksikan mereka kalah teruk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*