Home / Bola Sepak / #KL2017 : Malaysia pungut 3 mata

#KL2017 : Malaysia pungut 3 mata

Malaysia football team pictured during the Sea Games 2017 Men Football at Stadium Shah Alam, Selangor, Malaysia. Pix by Arep KULAL / TEAMMAS

SHAH ALAM 15 Ogos 2017 : Pasukan bolasepak lelaki Malaysia berjaya membuka kempen peringkat Kumpulan A bagi acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dengan 3 mata, apabila menewaskan Brunei 2-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee berkongsi tiga mata bersama Myanmar yang terlebih dahulu mencatat kemenangan 2-0 ke Singapura, pada sebelah petang.

Malaysia bermula positif apabila membuka jaringan seawal minit keempat perlawanan selepas hantaran silang Matthew Davies disudahkan dengan sepakan voli menarik daripada Safawi Rasid.

Bagaimanapun kedudukan itu hanya bertahan lapan minit apabila Mohamed Zulkhairy Hady Razali yang melepasi perangkap ofsaid meledak gol penyamaan.

 

Safawi terus menjadi ancaman utama kubu Brunei apabila rembatan derasnya dari luar kotak penalti pada minit ke-46 menepati sasaran, namun ditepis penjaga gol Haimie Anak Nyaring.

Kem Malaysia menarik nafas lega apabila Adam Nor Azlin kembali meletakkan skuad kebangsaan di depan selepas menanduk masuk bola sepakan penjuru Safawi pada minit ke-60.

Malaysia turut mendapat beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan tetapi gagal disempurnakan, yang menyaksikan keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat.