Home / Hoki / KEJOHANAN HOKI B14 DAN B16 TAHUN KEBANGSAAN DIBATALKAN

KEJOHANAN HOKI B14 DAN B16 TAHUN KEBANGSAAN DIBATALKAN

Kejohanan Hoki Bawah 14 tahun dan 16 tahun Kebangsaan bagi kategori Lelaki dan Perempuan 2020 yang sepatutnya berlangsung pada tahun ini menjadi dua lagi kejohanan yang terpaksa dibatalkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) ekoran penularan Wabak Pandemik Covid-19.

Kejohanan melibatkan pemain yang masih dibangku sekolah itu adalah mustahil untuk dijalankan selepas peningkatan kes Pandemik Covid-19 yang membimbangkan tambahan kejohanan tersebut akan melibatkan penyertaan daripada wakil negeri dan perjalanan rentas negeri perlu dilakukan sekiranya kejohanan masih diteruskan.

Keputusan untuk membatalkan kejohanan telah diputuskan oleh Jawatankuasa Pertandingan KHM dalam mesyuarat kali keenam yang berlangsung pada Sabtu lalu selain mengambil kira pandangan serta panduan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Penetapan yang dibuat oleh Pengerusi Jawatankusa Pertandingan KHM, Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh, bersama barisan ahli jawatankuasanya juga sebagai menyahut seruan Kerajaan Malaysia untuk sama-masa membantu memutuskan rantaian jangkitan Pandemik Covid-19 selain ia juga demi kesihatan dan kebaikan pelbagai pihak.

“Memandangkan situasi penularan wabak Pandemik Covid-19 di Malaysia semakin hari semakin membimbangkan dengan angka mereka yang telah dijangkiti juga begitu tinggi, saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM bersama ahli jawatankuasa yang lain telah mengambil keputusan untuk membatalkan Kejohanan Hoki Bawah 14 tahun dan 16 tahun Kebangsaan bagi kategori Lelaki dan Perempuan 2020.

“Kejohanan ini melibatkan pemain di bangku sekolah dan kini kebanyakan sekolah di Malaysia terpaksa ditutup ekoran Pandemik Covid-19 dan membatalkan kejohanan ini adalah keputusan yang terbaik kerana saya juga yakin ibu bapa pemain turut tidak mahu mengambil risiko sekiranya anak-anak mereka terdedah dengan ancaman Pandemik Covid-19,” jelas Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh.

KHM dalam pada itu akan terus bergerak seiring dengan saranan yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia termasuk, KKM serta MKN dalam memastikan keselamatan semua pihak selain usaha untuk memutuskan penularan wabak Pandemik Covid-19 yang kini cukup membimbangkan.