Home / Golf / Kejohanan Golf Jemputan Media di Seri Selangor meriah !

Kejohanan Golf Jemputan Media di Seri Selangor meriah !

Para pengamal media bergambar sebelum memulakan kejohanan. Gambar ©SACC

Para pengamal media bergambar sebelum memulakan kejohanan. Gambar ©SACC

KOTA DAMANSARA, 29 Februari 2016 : Pengurusan Kelab Golf Seri Selangor hari ini menganjurkan Kejohanan Golf Jemputan Media 2016 untuk meraikan pengamal-pengamal media di Malaysia. Kejohanan yang julung-julung kali diadakan itu dihadiri hampir 50 orang pengamal media dari pelbagai agensi antaranya RTM, Kumpulan Media Prima, Majalah Par Golf, Majalah ClubHouse, MyGolf.Com.My, SukanMalaysiaDotMY, ASTRO dan BERNAMA.

Kejohanan yang bermula pada jam 8.00 pagi, ternyata meriah apabila para pemain diuji di atas lapangan yang mencabar dan kelajuan ‘green’ yang mencecah ‘11.5 stimpmeter’. Rata-rata pemain yang ditemui kagum dengan keupayaan pengurusan Kelab Golf Seri Selangor yang mampu mengekalkan kualiti padang dan green dengan baik walaupun ianya merupakan sebuah kelab golf awam yang paling sibuk dan sering dipenuhi oleh pemain-pemain golf sepanjang masa.

Kelab Golf Seri Selangor milik penuh Permodalan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan diuruskan oleh SACC Convec Sdn Bhd merupakan lapangan golf antarabangsa 18 lubang, 6,464 meter dan merupakan venue kejohanan golf bertaraf antarabangsa antaranya Kejohanan Golf Selangor Masters dan Pusingan Kelayakkan Piala Dunia zon Asia Pacific. Sebagai sebuah kelab golf berstatus awam, ianya sudah pasti satu kejayaan buat pengurusan kelab yang berjaya menjadikan Kelab Golf Seri Selangor sebagai venue kejohanan tersebut.

Dalam program yang sama, SACC Convec Sdn Bhd juga mengumumkan projek naik taraf Kelab Golf Seri Selangor yang akan bermula mulai Mei 2016. Dengan projek naik tarak ini, Kelab Golf Seri Selangor akan memiliki rumah kelab yang berwajah baru dan dilengkapi dengan beberapa kemudahan yang baru seperti ‘golfer terrace’, ‘Pro-Shop’, bilik persalinan dan bilik-bilik seminar dan mesyuarat. Disamping itu juga, projek naik taraf untuk padang permainan juga akan dilakukan bagi mengekalkan identiti Kelab Golf Seri Selangor sebagai antara kelab golf yang paling mencabar dan kelab golf awam bertaraf antarabangsa.