Home / Badminton / KEJOHANAN BADMINTON MALAYSIA MASTERS 2020 : RANGKUMAN HARI PERTAMA PERINGKAT KELAYAKAN

KEJOHANAN BADMINTON MALAYSIA MASTERS 2020 : RANGKUMAN HARI PERTAMA PERINGKAT KELAYAKAN

Hari pertama Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2020 tumpuan lebih terarah kepada aksi beregu lelaki negara yang bertemu sesama sendiri dalam pusingan kelayakan.

Ia menyaksikan Aaron Chia – Wooi Yik mengekalkan status selaku beregu lelaki nombor satu negara selepas cemerlang menewaskan gandingan seniornya Goh V Shem-Tan Wee Kiong dengan kemenangan straight set.

Aksi berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil Aaron-Wooi Yik membuat permulaan baik untuk mengutip mata pertama dengan catatan 21-19.

Kesilapan demi kesilapan dilakukan V Shem-Wee Kiong di set kedua jelas memakan diri sekaligus dimanfaatkan Aaron-Wooi Yik untuk memuktamadkan kemenangan penuh 21-14 dalam tempoh hanya 34 minit.

Dalam pada itu pemain profesional perseorangan lelaki negara Liew Daren menepati ramalan mudah melepasi pusingan kedua kelayakan petang tadi.

Turun menentang pemain dari China beliau tidak menghadapi masalah untuk menang straight set 21-15 21-15 dalam tempoh 35 minit sekaligus mengekalkan rekod 100% menang dalam pertemuan kedua-dua pemain sebelum ini.

Daren dijadualkan berdepan Jonatan Christie dari Indonesia pada pusingan pertama esok dengan rekod pertemuan mereka seimbang masing-masing mencatat satu menang dan satu kalah.

Sementara itu seorang lagi perseorang lelaki negara Soong Joo Ven tersingkir awal di pusingan kelayakan selepas kalah kepada pemain Jepun Koki Watanabe.

Faktor keletihan menjejaskan rentan Soong Joo Ven yang mengharungi dua perlawanan penuh berbanding Aoki yang mendapat kelebihan pada perlawanan pertama selepas lawannya menarik diri selepas mengalami kecederaan pagi tadi.

Namun Joo Ven tetap bertenaga untuk memberikan aksi terbaik apabila berjaya mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum tewas 16-21 21-16 dan 11-21 dalam tempoh lebih satu jam.

Kem Malaysia kembali ceria selepas satu lagi wakil negara layak ke pusingan pertama esok menerusi beregu lelaki profesional Teo Yew Sin-Ong Ee Yi yang baharu saja digugurkan dari kem kebangsaan jumaat lalu.

Kemenangan Yew Sin-Ee Yi bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila dipaksa bertarung tiga set menentang wakil India.

Namun selepas 52 minit beraksi Yew Sin-Ee Yi berjaya menoktahkan kemenangan hasil catatan penuh 21-15 18-21 dan 21-15.