Home / Bola Sepak / Kedah Juara Piala FA 2017 !

Kedah Juara Piala FA 2017 !

Pemain Kedah menjulang piala FA selepas menewaskan pasukan Pahang 3-2 di Stadium Shah Alam. Gambar oleh Arep Kulal © FMLLP

SHAH ALAM, 20 Mei 2017 – Pasukan Lang Merah, Kedah muncul juara Piala FA 2017 apabila menewaskan pasukan Pahang 3-2 dalam aksi perlawanan akhir yang cukup dramatik di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Dua gol jaringan Baddrol Bakthiar dan satu dari pemain import mereka, Ken Ilso Larsen memastikan Kedah menjuarai Piala FA untuk kali ke 4 selepas berjaya memenangi pada tahun 1996, 2007 dan 2008. Bagaimana kemenangan Kedah tidak mudah apabila Pahang memberi tentangan sengit sehingga babak akhir perlawanan biarpun beraksi dengan sepuluh orang pemain, selepas Francisco Insa Bohigues dibuang pada minit ke 33.

Pemain Kedah Liridon Krasniqi dan Syazwan Zainon meraikan gol pertama pasukan Kedah. Gambar oleh Azhari Yusop /Sukan MalaysiaDotMY

Mengamalkan corak permainan menyerang, pasukan Kedah mengasak kubu pertahanan Pahang sejak awal minit perlawanan sambil menyaksikan Pahang memilih untuk bertahan sambil sesekali melakukan serangan balas.

Disaksikan 80,000 penonton yang memenuhi setiap sudut stadium, Kedah membuka jaringan pada minit ke-20 selepas Larsen menyempurnkan hantaran Mohd Syazwan Zainon. Tertekan selepas pemainnya dilayankan kad merah pada minit ke 33, Pahang mula mengatur rentak namun belum sempat mereka meredakan tekanan, Kedah terus menekan dengan asakan demi asakan yang akhirnya menyaksikan Baddrol Bakthiar mengambil peluang dari situasi kelam kabut di hadapan pintu gol Pahang untuk jaringan kedua pasukan Kedah.

Tersentak dengan gol tersebut dan bermain dengan 10pemain, anak buah Dollah Salleh ternyata tidak patah semangat apabila mula menyusun permainan menyerang. Heo Jae-won sekali lagi menyaksikan kehebatannya apabila menjaringkan gol pertama Pahang di masa tambahan separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, Pahang juara 2014 dan 2006 tampil garang dengan mengaturkan serangan demi serangan ke kubu pasukan Kedah. Begitupun asakan demi asakan yang diatur Tok Gajah berjaya dikekang dengan baik oleh pertahanan Kedah dan serangan balas pasukan Kedah pada minit ke 76 menyaksikan Baddrol sekali lagi merentap hasrat Pahang untuk muncul juara apabila menjaringkan gol ketiga pasukan Kedah.

Pemain Pahang Jorge Gonzalo Romero melakukan percubaan ke arah pintu gol Pahang. Gambar oleh Azhari Yusop /Sukan MalaysiaDotMY

Ketinggalan 2 gol tidak mengubah taktik permainan Pahang yang terus mengasak pintu gol Kedah. Selepas beberapa kali terlepas peluang menjaringkan gol, akhirnya pemain import, Sumareh berjaya merembat masuk untuk gol kedua Pahang sambil merapatkan jurang gol pada minit ke 80. Pahang terus mengasak selepas itu namum Kedah terus bertahan hingga keminit akhir perlawanan seterusnya mengesahkan kejuaraan milik mereka.

Teruja dengan kejuaraan Piala FA, Pemangku Jurulatih Kedah Nidzam Adha Yusoff menyifatkan kejayaan Kedah menjulang Piala FA berpunca daripada usaha keras barisan pemainnya sepanjang perlawanan akhir.

“Kejayaan ini 90 peratus berpunca daripada barisan pemain. Saya cuma 10 peratus. Apapun terima kasih kepada pemain. Tidak ketinggalan juga kepada pihak pengurusan, barisan jurulatih lain dan penyokong Kedah yang tak pernah jemu memberi sokongan kepada kami” katanya sejurus selepas perlawanan final antara Kedah dan Pahang di Stadium Sham Alam berakhir.

Persatuan Bolasepak Kedah mengumumkan bahawa Nidzam akan memegang jawatan Ketua Jurulatih sekiranya berjaya membawa Kedah menjuarai Piala FA namun sehingga kini tiada pengumuman dibuat mengenainya.

Sementara itu Jurulatih Pahang, Dollah Salleh ketika ditemui berkata beliau tetap berpuashati dengan anak buahnya walaupun gagal membawa pulang Piala FA.

Pemain Kedah Baddrol Bakthiar dan Mohd Rizak Ghazali meraikan kemenangan pasukan Kedah. Gambar oleh Azhari Yusop /Sukan MalaysiaDotMY

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan anak buah yang terpaksa beraksi lebih 60 minit dengan 10 pemain. Bukan mudah untuk bermain dengan 10orang pemain menentang pasukan seperti Kedah, namun mereka berjaya memberi tekanan dan bermain sebagai satu pasukan. Tahniah kepada Kedah kerana muncul juara Piala FA. Bagi saya nasib tidak begitu menyebelahi kami’ – ujar Dollah Salleh

Ketika diajukan soalan samaada beliau menyalahkan Bohigues akibat layanan kad merah, Dollah sambil tersenyum berkata “Ini adalah resam dalam mana2 perlawanan penting seperti ini, satu kehilangan besar namun saya pasti kesungguhan beliau itu merangkap beliau dalam situasi sedemikian”

Dari Meja Editor Sukan Malaysia – Syabas buat pasukan Kedah !