Home / Lain - Lain / KBS SAHKAN PENAMATAN KHIDMAT DR. WIRDATI

KBS SAHKAN PENAMATAN KHIDMAT DR. WIRDATI

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan khidmat Dr Wirdati Mohd Radzi selaku Pesuruhjaya Sukan berakhir, hari ini selaras dengan pemendekkan kontrak perkhidmatan beliau.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, KBS memaklumkan ia adalah pertukaran biasa dalam perkhidmatan kerajaan yang sentiasa dinamik.

“Pengalaman dan kepakaran Dr Wirdati sepanjang berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Sukan telah membantu KBS khususnya dalam memperkemas urus tadbir persatuan-persatuan dan badan-badan sukan.

“Di kesempatan ini, KBS ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada Dr Wirdati atas perkhidmatan dan jasa beliau sepanjang menerajui Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia,” kata kenyataan itu.

BH Sukan, hari ini melaporkan perkhidmatan Dr Wirdati akan ditamatkan dalam tempoh terdekat selepas hanya setahun memegang jawatan itu.

Menurut sumber, Dr Wirdati sudah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan oleh pihak pengurusan KBS yang menyatakan tempoh terakhir perkhidmatannya adalah pada hari ini biarpun kontrak sebenar selama dua tahun.

Katanya, tiada alasan kukuh dinyatakan dalam perbincangan bersama berkenaan.

Sehubungan itu, Dr Wirdati dikatakan akan membawa isu itu untuk pengadilan bagi menjaga reputasinya yang juga selaku pensyarah kanan Pusat Sukan dan Sains Eksersais. Universiti Malaya (UM).

Dengan pengesahan daripada KBS itu, Dr Wirdati yang mempunyai latar belakang dalam bidang perundangan sukan adalah Pesuruhjaya Sukan paling singkat dalam sejarah selepas menggantikan Datuk Zaiton Othman yang bersara wajib, pertengahan tahun lalu.

Untuk rekod, Dr Wirdati yang menjadi calon pertama menjawat jawatan tertinggi dalam PPS menerusi temuduga dijalankan secara terbuka berbanding lantikan terus dilakukan sebelum ini, mula menggalas tugas berkenaan pada 1 Oktober tahun lalu.