Home / Lain - Lain / KBS BAKAL PERKENALKAN SOP KHAS BAGI ATLET PROGRAM ROAD TO TOKYO

KBS BAKAL PERKENALKAN SOP KHAS BAGI ATLET PROGRAM ROAD TO TOKYO

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sekali lagi mengingatkan atlet-atlet negara bahawa kelonggaran yang diberikan bermula Isnin ini bukanlah untuk program-program sukan kebangsaan.

Ia adalah lebih kepada untuk aktiviti riadah dan rekreasi dan masih tertakluk kepada peraturan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membuat permohonan berasingan kepada MKN bermula dengan atlet-atlet di bawah program Road To Tokyo terlebih dahulu selepas perayaan Aidilfitri.

KBS tidak mahu kelebihan program riadah ini disalahgunakan atlet untuk menjalani aktiviti latihan seperti biasa tanpa mengambil kira SOP yang telah dikeluarkan MKN.

Ini adalah kerana beberapa atlet bagi acara sukan outdoor pastinya akan mengambil kesempatan kembali ke pusat latihan masing-masing susulan kelonggaran ini.

Selain untuk program Road To Tokyo akan ada satu garis panduan khas yang akan dikeluarkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi aspek latihan dan kejurulatihan bagi sukan berprestasi tinggi.

Standard itu sedang diteliti MSN dan ISN sebelum dimuktamadkan dalam masa terdekat.