Home / Bola Sepak / JDT JALINKAN KERJASAMA DENGAN UNICEF

JDT JALINKAN KERJASAMA DENGAN UNICEF

Juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengorak selangkah ke hadapan selepas menjadi pasukan bola sepak pertama di Asia Tenggara menjalinkan kerjasama antarabangsa bersama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Menurut pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerjasama yang dimeterai itu bukan sahaja untuk mengumpul dana bagi kemajuan kanak-kanak tetapi juga meningkatkan nilai kelab JDT di peringkat antarabangsa termasuk dalam dunia komersial.

UNICEF merupakan sebuah badan di bawah Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang memberikan bantuan kemanusiaan dan pembangunan kepada kanak-kanak di seluruh dunia dan beribu pejabat di Amerika Syarikat.

” UNICEF akan menjadi rakan JDT bagi musim 2021 dan saya fikir ini adalah satu penghormatan buat kelab ini. JDT akan memberi komitmen terbaik bagi menjayakan kolaberasi ini.”, ujan Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Turut hadir wakil UNICEF di Malaysia Dr. Rashed Mustafa Sarwar dan ketua jurulatih JDT Benjamin Mora.

Organisasi yang ditubuhkan sejak 1946 itu juga telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa buah pasukan bola sepak terkemuka dunia seperti Barcelona FC, Manchester United dan Olimpiacos.

Menerusi kerjasama itu logo UNICEF juga berkemungkinan dipamerkan di jersi baharu skuad Harimau Selatan musim hadapan.

Tunku Ismail juga akan mengumumkan senarai pemain musim 2021/2022 dalam masa terdekat.