Home / Lain - Lain / HUMAN VOYAGE TAMPIL BERI PENJELASAN

HUMAN VOYAGE TAMPIL BERI PENJELASAN

Penganjur pelumbaan Le Tour De Langkawi 2020 (LTDL 2020) Human Voyage Sdn Bhd sudah memberi penjelasan penuh kepada Kementerian Belia dan Sukan mengenai isu kelewatan pembayaran hadiah wang kemenangan.

Penjelasan ini diharap dapat memberi gambaran sebenar keadaan dan situasi semasa selain bagi mengelak isu ini diheret pihak yang tidak bertanggungjawab bagi memburukkan imej syarikat berkenaan.

Dalam surat yang ditujukan kepada menteri belia dan sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, ketua operasi eksekutif Human Voyage Shahaizereen A Hamid memaklumkan secara panjang lebar berhubung kelewatan pembayaran berkenaan.

Hadiah kemenangan diuruskan oleh pihak Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (Union Cycliste International) menerusi platform yang dibangunkan oleh pihak UCI dan Cyclistes Professionels Associes (CPA).

Sehubungan dengan itu, semua wang kemenangan tidak lagi boleh dibayar kepada pasukan berikutan penutupan bank dan pejabat urusan UCI di Perancis akibat pandemik Covid-19.

Human Voyage turut menjelaskan sentiasa memegang etika profesional dalam urusan penganjuran LTDL seperti ketika mana syarikat itu mengendali perlumbaan edisi 2015 dan 2019 dimana tiada masalah pembayaran hadiah kemenangan tercetus.

Semua pihak baik pelumba, pasukan diharap tidak mengambil kesempatan atas situasi pandemik Covid-19 yang melanda dunia untuk menunding jari terhadap Human Voyage atas kelewatan ini.