Home / Hoki / HOCKADEMY KL RAMPAS GELARAN JUARA TNB LIGA HOKI MALAYSIA DARI TERENGGANU HOCKEY LADIES TEAM

HOCKADEMY KL RAMPAS GELARAN JUARA TNB LIGA HOKI MALAYSIA DARI TERENGGANU HOCKEY LADIES TEAM

Misi Terengganu Hockey Ladies Team (TLHT) untuk pertahankan gelaran TNB-LHM 2020 kategori wanita tidak kesampaian selepas sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang PKS Uniten dalam aksi terakhir liga yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu pada Isnin.

Turun ke pertemuan ini dengan jumlah mata yang sama dengan pendahulu, Hockademy KL, TLHT bagaimanapun menyedari perbezaan jaringan yang cukup besar memberikan kelebihan buat pencabar mereka itu.

Kelebihan bermain di laman sendiri cuba dimanfaatkan sebaik mungkin oleh TLHT namun mereka dikejutkan dengan jaringan pembukaan pelawat menerusi Siti Nur Arfah Mohd Nor pada minit ke-22.

Kebangkitan TLHT lebih terserlah dalam suku ketiga dan hasilnya pukulan sudut penalti Julani Mohamad Din pada minit ke-44 menjadikan kedudukan 1-1.

Meskipun kedua-dua pasukan punyai beberapa lagi peluang, keputusan itu kekal hingga wisel penamat, menyaksikan TLHT tamatkan kempen kali ini selaku naib juara liga dengan 23 mata daripada 10 perlawanan diikuti PKS di tangga ke-3.

“Di sebalik keputusan ini, saya tetap berpuas hati di mana kami tidak tewas di laman sendiri musim ini dan aksi ini beri gambaran awal bagaimana untuk hadapi PKS bagi saingan Piala Vivian May Soar nanti.

“Pemain kekal dengan motivasi tinggi meskipun ketinggalan kepada lawan dan saya harap mereka dapat tingkatkan lagi persembahan selepas ini,” jelas pengendali TLHT, Nasihin Nubli.

“Kami pamerkan aksi lebih baik berbanding pertemuan terdahulu di Bukit Jalil tetapi kami masih perlu lebih fokus dalam bahagian penyudah selain lebih agresif dalam setiap situasi.

“Tempat ketiga keseluruhan dalam liga kali ini merupakan satu pencapaian yang baik buat kami,” ujar jurulatih PKS, Lailin Abu Hassan.

Dalam pada itu, pendatang baharu liga, Hockademy KL mengesahkan gelaran juara dengan kemenangan besar 13-0 ke atas Mutiara Impian MSSPP-PSHA.

Norshafiqa Ishak paling cemerlang dalam aksi ini dengan meledak lima gol di samping Fatin Shafika Mahd Sukri serta Ellya Amanina Ellias yang masing-masing memperoleh dua gol.

Menerusi 3 mata penuh ini, Hockademy tamatkan saingan di kedudukan teratas liga dengan 25 mata daripada 10 perlawanan.

Satu lagi perlawanan menyaksikan Sabah bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat PDRM Blue Warriors 2-2 dalam pertemuan di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur.

Dua jaringan dalam suku pertama oleh Nurafiqah Syahzani Azhar dan Norazlin Sumantri memberikan pendahuluan selesa buat Blue Warriors.

Begitupun Sabah tidak berputus asa dan hasilnya jaringan padang Brenda Jj Andy Junior pada minit ke-32 merapatkan jurang buat pelawat.

Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun muncul penyelamat Sabah dengan menjaringkan gol penyamaan pasukannya pada minit ke-39.

Di sebalik keputusan ini, tiada perubahan dalam kedudukan buat kedua-dua pasukan dengan Blue Warriors tamatkan kempen di kedudukan ke-4 liga, diikuti Sabah di tempat ke-5.