Home / Bola Sepak / Harimau Malaya gagal manfaatkan peluang di Bukit Jalil

Harimau Malaya gagal manfaatkan peluang di Bukit Jalil

Foto : Sportflex Malaysia

Harimau Malaya berjaya mencuri perhatian dengan intensiti permainan mempersona tetapi hanya pasukan yang pintar memanfaatkan peluang akan muncul pemenang.

Situasi itu yang dialami oleh pasukan kebangsaan setelah Emiriah Arab Bersatu (UAE) menghukum Malaysia hasil kesilapan mudah dan kealpaan pemain kita sendiri.

“Saya gembira dengan persembahan pemain, namun kami sepatutnya seri dalam perlawanan kerana pemain tahu mereka perlu tingkatkan intensiti permainan berdepan pasukan yang berkualiti seperti UAE.Jadi sebarang peluang kita perlu manfaatkan”, ujar Tan Cheng Hoe selaku pengendali pasukan kebangsaan.

Foto : Sportflex Malaysia

Seperti tiada tanda-tanda Harimau Malaya mengendurkan cengkaman ketika berhadapan UAE dalam kumpulan G melihat kepada barisan yang diturunkan Tan Cheng Hoe.

Pemain negara terus melancarkan asakan seawal sepak mula perlawanan dan hasilnya 43,200 penyokong yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil gembira meraikan jaringan pembukaan selepas hantaran Mathew Davies disudahkan dengan tandukan kencang Mohd Shafiq Ahmad ketika perlawanan baru berusia 32 saat.

Foto : Sportflex Malaysia

Jaringan itu menambah keyakinan pemain negara yang mencipta beberapa peluang selepas itu tetapi ketumpulan penyudah menyelamatkan UAE dari terus dibolosi.

Meskipun mendominasi permainan kegagalan merantai pemain lawan dalam kawasan sendiri menyebabkan pasukan negara dihukum dengan jaringan penyamaan penyerang prolifik Ali Mabhkout dua minit sebelum rehat.

Dan sekali lagi sedikit kelekaan ketika diasak oleh pihak lawan membuka ruang Ali Mabhkout mengatasi pertahanan pasukan negara seterusnya menghasilkan gol kedua buat UAE pada minit ke-75.

Malaysia cuba bangkit menerusi serangan bertubi-tubi di sebelah sayap namun ketumpulan dan ketiadaan penyerang sejati begitu dirasai pasukan kebangsaan.

Jika di Jakarta tuan memihak di penghujung permainan tetapi tidak pada kali ini menyaksikan deretan peluang yang terhidang gagal dimanfaatkan oleh barisan hadapan Harimau Malaya.

Daripada berpeluang mengutip tiga mata penuh atau pun setidak-tidaknya berkongsi satu mata kekalahan ini menyebabkan pasukan kebangsaan hilang mata penting kepada pelawat.

Kemampuan menyaingi UAE menyebabkan kekalahan ini sedikit sukar untuk diterima penyokong mahupun pemain. Dari segi permainan Harimau Malaya ternyata lebih menonjol berbanding lawan namun akhirnya hanya keputusan menjadi kayu pengukur.