Home / Bola Sepak / Gol awal Vietnam ranapkan impian Malaysia

Gol awal Vietnam ranapkan impian Malaysia

HANOI : Impian Malaysia untuk merangkul kejuaraan Piala AFF Suzuki berkubur setelah tewas 1-0 kepada Vietnam di Stadium MyDinh  dalam perlawanan pusingan kedua.

Kekalahan ini bererti skuad kendalian Tan Cheng Hoe tewas dengan defisit agregat 3-2 dengan Vietnam layak dinobatkan sebagai juara selepas 10 tahun mencuba.

Kembalinya pemain-pemain dari kecederaan dan penggantungan menyaksikan Cheng Hoe menuruskan barisan terbaik Harimau Malaya seperti Muhammad Syahmi Safari, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak namun masih gagal mengekang Vietnam melancarkan serangan sejak awal perlawanan menerusi Anh Duc, Phan Van Duc dan Quang Hai.

Jaringan cantik diawal minit ke-5 perlawanan berpunca dari hantaran lintang Quang Hai menemui Anh Duc, pemain yang berumur 33 tahun yang berjaya menghasilkan rembatan kencang mengatasi Farizal Marlias seterusnya menggembirakan kira-kira 40,000 penyokong Vietnam.

Terdapat kecurigaan mengatakan pemain Vietnam berkedudukan  offside tetapi pengadil Alireza Faghani mengesahkan jaringan tersebut.

Selepas jaringan tersebut, Harimau Malaya bingkas segera bangkit memulakan serangan dan nyaris memperolehi gol penyamaan pada minit ke-10 ketika hantaran lintang dari Syahmi tepat kepada Mahamadou Sumareh tetapi tendangan belakang pemain sayap itu tersasar jauh dari gawang.

Pada minit ke-44, pemain pertahanan kanan, Muhammad Syahmi Safari hampir memecahkan kebuntuan jaringan namun kecekapan Dang Van Lam berjaya mengelak gawang Vietnam dari dibolosi.

Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa Vietnam adalah pasukan yang jauh lebih baik bilamana pertahanan Vietnam yang diketuai oleh Que Ngoc Hai kerana mereka berjaya menyerap segala asakan barisan serangan Malaysia beberapa kali.

Pada babak kedua, Vietnam meneruskan serangan tanpa henti tetapi Malaysia mendapat peluang yang lebih baik pada minit ke-49, menerusi tendangan sudut dari Muhammad Safawi Rasid menemui Sumareh namun berjaya diselamatkan dari garis gawang oleh Van Lam.

Malaysia mendapat peluang lagi pada minit ke-53 apabila Safawi dijatuhkan di luar kotak dan sepakan percumanya diselamatkan oleh Van Lam.

Pada minit ke-73, Malaysia menggunakan strategi menguatkan barisan serangan dengan memasukkan Muhammad Syafiq Ahmad  bergandingan dengan Aidil Zafuan untuk mengharungi baki 17 minit perlawanan.

Memasukkan Muhammad Akhyar Rashid dan Muhammad Shahrel Mohd Fikri merupakan strategi terakhir dari Cheng Hoe kerana Malaysia masih belum mengalah dan terus berusaha untuk mencipta gol penyamaan.

Jaringan tunggal Nguyen Anh Duc sudah cukup menjadikan malam gemilang buat Vietnam seterusnya penyokong berpesta meraikan kejayaan mereka di jalanan selepas wisel penamat dibunyikan.

Malaysia kini perlu menunggu dua tahun lagi untuk cuba memenangi Piala AFF Suzuki kali kedua buat negara, yang mana kali terakhir dimenangi pada 2010.