Home / Bola Sepak / #finalpialaFA : SAM bidas Tindakan FMLP

#finalpialaFA : SAM bidas Tindakan FMLP

Presiden SAM - Ahmad Khawari Isa

Presiden SAM – Ahmad Khawari Isa

KUALA LUMPUR, 4 Mei 2016 – Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) mempersoalkan tindakan pihak Football Malaysia LLP (FMLLP) yang tidak memperuntukkan jualan tiket untuk penonton kanak-kanak dan pelajar bagi perlawanan akhir Piala FA yang dijadualkan pada 14 Mei 2016.

Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa, melihat keputusan itu sebagai satu langkah ke belakang oleh FMLLP yang memegang tanggungjawab untuk mencipta keghairahan bagi saingan bola sepak tempatan.

“Peruntukan jualan tiket dengan harga lebih rendah untuk kanak-kanak dan pelajar – seperti amalan biasa – harus diteruskan. Saya hairan dengan alasan kononnya penjualan tiket sebegitu pernah disalahgunakan kerana tiada langsung laporan mengenainya diketengahkan sebelum ini .

“Malah kenaikan harga tiket kepada RM50 untuk membolehkan pelbagai acara dianjurkan sebagai pengisian program sebelum sepakmula final juga bukan alasan yang wajar kerana ia membebankan penyokong yang perlu berbelanja besar untuk hadir menyaksikan perlawanan di stadium.

“Seharusnya FMLLP menggunakan kebijaksanaan menampung kos penganjuran pelbagai program awal itu menerusi penajaan, bukannya menyalurkan kos kepada penyokong menerusi kenaikan harga tiket,” katanya.

Ahmad Khawari seterusnya mendesak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk campur tangan dengan mengetepikan keputusan FMLPP dan kembali memperkenalkan penjualan tiket untuk kanak-kanak dan pelajar.

“FAM tidak harus akur dengan pendekatan ‘keuntungan jangka pendek’ yang jadi amalan FMLLP kerana dengan menggalakkan kehadiran lebih ramai kanak-kanak dan pelajar menyaksikan perlawanan penting , ia akan memperkukuhkan minat terhadap bola sepak tempatan untuk jangka panjang,” katanya.