Home / Bola Sepak / Final PIALA MENTERI PENDIDIKAN 2013 : UM Lebih Unggul

Final PIALA MENTERI PENDIDIKAN 2013 : UM Lebih Unggul

FINAL PIALA MENTERI PENDIDIKAN 2013 | UM 3 UKM 1 

Laporan oleh : Md Duang  

 
UM muncul juara Piala Menteri Pendidikan 2013 | Gambar oleh : Badlishah Mohd Ali (SAM FC)
Stadium UM Arena menjadi saksi kejayaan bermakna pasukan Universiti Malaya (UM) apabila berjaya menggondol gelaran juara Piala Menteri Pendidikan 2013 setelah bergaya menidakkan cabaran pasukan pilihan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)dengan jaringan 3-1. 

Kesempatan beraksi di laman sendiri ternyata membangkitkan semangat anak buah Asnan Md Zuki yang terlebih dahulu menguji gawang UKM melalui sepakan percuma Mohd Syukor Zakaria pada minit ke 5 namun tidak menepati sasaran. Peluang terbaik hadir pada minit ke 15 namun cubaan penyerang UM, Azrol Hisham Talib ditampan penjaga gol lawan. UKM turut mempunyai peluang pada minit ke 19 namun percubaan Fitri Zaim tersasar. 

UM akhirnya menemui sentuhan jaringan pada minit ke 26 setelah Mohd Syukor Zakaria tenang menyempurnakan sepakan penalti setelah Azrol Hisham dijatuhkan lawan meskipun sepakan pertama dibatalkan pengadil perlawanan. Tersentak dengan itu, pasukan UKM meningkatkan asakan namun deretan sepakan percuma gagal membuahkan hasil. 

Dalam keghairahan UKM melakukan asakan demi asakan, pasukan UM berjaya melebarkan kedudukan pada minit ke 42 melalui rembatan kencang Azrol Hisham di dalam kotak penalti. 

Ketinggalan dengan dua jaringan memaksa UKM memasukkan pemain kebangsaan dan ATM, K.Reuben bagi mengukuhkan cabaran mereka. K.Reuben yang beraksi selaku penyerang berjaya melakukan percubaan pada minit terakhir perlawanan namun sedikit tersasar. Kemasukan K. Reuben memberi impak segera kepada jentera serangan UKM apabila Sepakan percuma beliau pada minit ke 46 sekadar terkena tiang gol UM tatkala penjaga gol sudah tertewas. 

UM terus mengukuhkan penguasaan hasil penyudahan tepat Mohd Zamri Ramli pada minit ke 48 setelah mendapat hantaran Mohd Hasbi Husain dalam kotak penalti lawan. Selepas jaringan gol tersebut, UM melonggarkan asakan dan tempo permainan pantas dikuasai UKM yang melancarkan serangan bertali arus ke gawang UM. 

Usaha gigih pemain UKM akhirnya berhasil pada minit ke 75 melalui sepakan kencang Gusti Ishak dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol UM,Ahmad Syahidan Semsuddin. UKM terus memburu tambahan jaringan melalui percubaan K.Reuben dan Fitri Zaim namun aksi cemerlang penjaga gol UM nyata menghampakan mereka. Tambahan 5 minit masa kecederaan gagal digunakan oleh barisan Sulaiman Husin untuk menyekat pasukan UM muncul juara. 

Tambah membanggakan,penyerang UM, Azrol Hisham telah dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan akhir. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Setiausaha Agung FAM,Datuk Hamidin Mohd Amin. 

UM membawa pulang hadiah sebanyak RM 30,000 selaku juara Piala Menteri Pendidikan 2013.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*