Home / Hoki / FIH SIRI AKHIR LELAKI KUALA LUMPUR 2019: MALAYSIA NAIB JUARA

FIH SIRI AKHIR LELAKI KUALA LUMPUR 2019: MALAYSIA NAIB JUARA

Foto : Arena Hoki Malaysia

Selepas misi ke final untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya kelayakan Olimpik Tokyo 2020 sudah tercapai, skuad hoki negara terpaksa akur tewas 2-3 kepada Kanada dalam aksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sekaligus muncul naib juara FIH Siri Akhir (Lelaki) 2019.

Turun menentang pasukan di ranking ke-10 dunia, Malaysia mempamerkan aksi memberangsangkan namun kegagalan menyudahkan peluang keemasan membuatkan pasukan negara terpaksa berpuas hati selaku naib juara.

Mendapat sokongan padu ribuan penyokong, Malaysia bermula garang apabila mendahului 1-0 seawal minit ke-8 hasil jaringan padang yang dihasilkan Muhammad Firhan Ashari menerusi satu gerakan cantik.

Kanada berjaya menyamakan kedudukan menjadi 1-1 hasil penyudah pukulan sudut penalti Scott Tupper pada minit ke-20 perlawanan sebelum mereka menambah satu lagi gol menjadi 2-1 menerusi pukulan sudut penalti Brenden Bissett pada minit ke-22.

Ketinggalan satu gol, pasukan negara menggandakan asakan untuk memburu gol namun penalti stroke yang diperoleh di penghujung suku kedua gagal disempurnakan Fitri Saari untuk kedudukan 2-1 memihak Kanada kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Di babak kedua, Kanada bertambah selesa apabila menambah satu lagi gol melalui gol padang James Kirkpatrick pada minit ke-43 menjadikan Kanada di depan 3-1.

Malaysian Tigers yang terus mengejar kedudukan hampa apabila penalti stroke yang diberikan sekali lagi gagal diterjemahkan oleh Faizal Saari pada minit ke-51.

Tengku Tajuddin berjaya merapatkan jurang menjadi 2-3 hasil gol padang selepas dia berjaya membuat tampanan mudah di hadapan gol lawan pada minit ke-53. Kedudukan itu kekal memihak Kanada hingga perlawanan tamat.

Mengulas aksi anak buahnya di final, Ketua Jurulatih pasukan negara, Roelant Oltmans berkata, “Saya masih tidak percaya yang kita gagal menang dalam aksi akhir tadi.”

“Kami terlepas beberapa peluang dan dua pukulan penalti stroke gagal dijaringkan. Peluang untuk menang memang ada tapi kita tidak menggunakannya. Inilah hoki, kita terpaksa menerima kekalahan ini,”kata Roelant selepas perlawanan.

Perlawanan penentuan tempat ke-3/4 yang berlangsung pada petang tadi pula dimenangi oleh Itali apabila mereka menang tipis 2-1 mengatasi Austria.

Kedua-dua pasukan hanya menjaringkan gol di suku terakhir perlawanan. Gol Itali dijaringkan oleh Francois Sior melalui gol padang pada minit ke-47. Namun Austria menyamakan kedudukan menjadi 1-1 melalui gol padang Patrick Schmidt pada minit ke-49. Kedudukan seri itu tidak bertahan lama apabila Thomas Keenan menjaringkan gol kemenangan Itali menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-49.

KEPUTUSAN PENUH:

Final

Kanada 3-2 Malaysia

Penentuan tempat ke-3/4

Itali 2-1 Austria