Home / Bola Sepak / FAM UMUM PEMBATALAN PERTANDINGAN PIALA PRESIDEN, PIALA BELIA & MPFL BAGI MUSIM 2020

FAM UMUM PEMBATALAN PERTANDINGAN PIALA PRESIDEN, PIALA BELIA & MPFL BAGI MUSIM 2020

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini secara rasmi mengumumkan pembatalan tiga pertandingan di bawah kelolaannya iaitu Piala Presiden, Piala Belia dan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) bagi musim 2020 ini.

Sebagai badan induk bola sepak negara, FAM mahu memastikan aktiviti dan pertandingan bola sepak dan futsal di peringkat kebangsaan ini dapat diteruskan semula dengan selamat selepas ia ditangguhkan berkuat kuasa pada 16 Mac 2020 berikutan penularan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, seperti yang semua sedia maklum, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah bermula pada 18 Mac 2020 kini masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun 2020.

Berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan, bola sepak telah dikategorikan sebagai sukan bersentuhan yang dilarang oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ia hanya boleh dijalankan sebagai aktiviti riadah dengan penjarakan sosial satu meter dan tidak melebihi 10 individu. Namun, sebarang penganjuran perlawanan atau pertandingan masih tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB ini.

Sementara bagi futsal pula selain daripada boleh dikategorikan sebagai sukan bersentuhan, ia turut tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB ini kerana semua jenis aktiviti sukan di kawasan tertutup (indoor) adalah termasuk dalam senarai aktiviti sukan yang dilarang oleh MKN.

Selepas meneliti garis panduan berkenaan, untuk FAM meneruskan penganjuran Piala Presiden, Piala Belia dan MPFL bagi baki musim 2020 ini, keutamaan perlu diberikan terhadap aspek Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pengurusan sesi latihan dan penganjuran perlawanan iaitu dalam memastikan keselamatan dan kesihatan semua individu yang perlu hadir ke venue latihan dan perlawanan adalah terjamin.