Home / Bola Sepak / FAM DAN MFL BEKERJASAMA DALAM PENYEDIAAN CADANGAN SOP PENGANJURAN SUKAN TEMPATAN

FAM DAN MFL BEKERJASAMA DALAM PENYEDIAAN CADANGAN SOP PENGANJURAN SUKAN TEMPATAN

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) telah mengadakan perbincangan bersama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) dalam memastikan industri sukan boleh diadakan secara berstruktur di sebalik ketidaktentuan semasa akibat COVID-19.

FAM, MFL serta wakil beberapa lagi badan sukan yang lain hadir sama dalam Mesyuarat Jawatankuasa Taskforce Penyediaan Cadangan SOP Gelembung Perjalanan Domestik Bagi Penganjuran Pertandingan/Kejohanan Sukan Tempatan yang diwujudkan oleh KBS secara maya hari ini.

FAM dan MFL diwakili Presidennya, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin bersama Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam serta Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Mesyuarat kali pertama yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negara, Dato’ Dr Wasitah Mohd Yusof itu membincangkan usaha dan langkah KBS dalam mempersiapkan cadangan SOP bagi penganjuran pertandingan serta kejohanan sukan tempatan bagi tahun 2021.

Segala cadangan dan penambahbaikan khususnya membabitkan SOP penganjuran kejohanan yang dibangkitkan dalam mesyuarat itu akan dibawa ke pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terutamanya ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Ini adalah mesyuarat kali pertama Jawatankuasa Task Force Penyediaan Cadangan SOP Penganjuran Sukan Tempatan bagi persiapan tahun 2021. Jadi pelbagai perkara dari pihak FAM dan MFL dibangkitkan terutama mengenai SOP membabitkan kejohanan bola sepak tempatan.

“Sudah pasti antara perkara yang disentuh adalah mengenai SOP kemasukan penonton mengikut jumlah yang dibenarkan apabila saingan Liga Malaysia dijalankan pada musim 2021.

“Antara lain juga dibincangkan mengenai SOP mengadakan perlawanan di Zon Hijau sekiranya perlawanan membabitkan negeri di Zon Merah,” kata Dato’ Ab Ghani.Tambah Dato’ Ab Ghani, turut disampaikan dalam mesyuarat berkenaan adalah mengenai prosedur kemasukan pemain dan pegawai asing bagi musim 2021.