Home / Lain - Lain / EKSPEDISI WAWASAN EVEREST 2020 BAKAL PAHAT NAMA MALAYSIA DALAM SUKAN PENDAKIAN

EKSPEDISI WAWASAN EVEREST 2020 BAKAL PAHAT NAMA MALAYSIA DALAM SUKAN PENDAKIAN

Malaysia sekali lagi kian memahat nama sebagai negara yang aktif dalam sukan pendakian di pentas antarabangsa.

Buat pertama kali dalam sejarah satu ekspedisi yang dikenali sebagai Wawasan Everest 2020 yang menampilkan enam pendaki tempatan yang berbeza latar belakang dari segi bangsa dan agama.

Bermatlamatkan untuk mempromosi dan membina bangsa Malaysia seperti yang terkandung dalam Wawasan 2020 dan paling menarik salah seorang dari enam pendaki itu merupakan orang kelainan upaya (OKU).

Misi akan dikendalikan oleh presiden Kelab Eksplorasi Altitut Azim Afif Ishak dan turut ditunjangi Chef de Mission Dr Nazri Mohd Nor.

Ekspedisi Wawasan Everest 2020 dijadualkan bermula dari 1 April hingga 5 Jun depan.

Walaupun tarikh ekspedisi kali ini diadakan pada bulan Ramadhan pendakian ke puncak gunung Everest ketika itu dikatakan paling selamat selepas turut mengira pendakian dari Nepal dan bukannya Tibet.

Enam pendaki akan membawa nama Malaysia ke puncak gunung Everest kali ini terdiri daripada pelbagai bangsa. Mereka adalah Ayu Wanirah Naharuddin, (Tawau), Rina Jordana Adnan (Selangor), Alvin Ching Yee Lim (Selangor), Chandra Kanthen Jumbulingam (Kedah), Ahmad Murshid Maktar (Pulau Pinang) dan pendaki orang kelainan upaya Mohd Hawari Hashim.

Meskipun mengalami masalah pendengaran, Muhammad Hawari bersama pendaki lain telah melakukan persiapan mendaki kem induk Everest (EBC) dan Island Peak di Nepal awal Disember tahun lalu.

Mohd Hawari juga telah menjalani latihan intensif pada ketinggian 8848 meter dari aras laut sebagai persedian ke gunung Everest.

Ketika ini ekspedisi Wawasan Everest 2020 menggunakan perbelanjaan sendiri untuk menjalani latihan di dalam dan luar negara.

Kumpulan ini berharap pihak kerajaan dan swasta dapat membantu merealisasikan misi ini dan seterusnya mengharumkan nama Malaysia sebagai sebuah negara cemerlang dalam sukan lasak.