Home / Bola Sepak / Dollah akui terpaksa senaraikan Safee

Dollah akui terpaksa senaraikan Safee

BIQ_2837

Artikel Oleh : Al-Zaem

KUALA LUMPUR, 3 November 2014 : Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha sudah tidak layak untuk mengemudi jentera serangan skuad kebangsaan buat masa sekarang. Kenyataan yang sedikit pedas namun itulah realitinya. Tidak dinafikan gandingan dua pemain ini pernah menggegar rantau ASEAN seterusnya membolehkan skuad kebangsaan menjulang Piala AFF Suzuki empat tahun lalu.

Namun, itu cerita tahun 2010 yang lalu dan berdasarkan prestasi semasa, amatlah tidak wajar untuk terus memberikan mereka peluang selaku watak utama di jentera serangan. Peluang telah diberikan dalam sejumlah aksi persahabatan, namun sentuhan kedua-dua pemain dilihat semakin tumpul.  Dollah Salleh menyatakan bahawa Piala Malaysia adalah pentas untuk mencari pemain yang layak menyarung jersi kebangsaan di Piala AFF namun, apakah kredibiliti yang Safee dan Norshahrul pamerkan setakat ini yang telah menambat hatinya? “Saya senaraikan Safee kerana dia menunjukkan semangat yang tinggi dalam latihan pusat skuad kebangsaan baru-baru ini. Dia berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan sentuhannya,” jelas Dollah yang mengakui terpaksa mempertaruhkan Safee walaupun kurang beraksi tahun ini.

Kedua-dua pemain ini sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama kelab mereka iaitu Johor Darul Takzim (JDT), yang lebih mengutamakan gandingan penyerang import. Malah, berbanding Norshahrul, Safee dilihat terlalu banyak memanaskan bangku simpanan. Tidak dinafikan juga sikap pengurusan kelab dan pasukan negeri yang mengutamakan penyerang import untuk meraih kejayaan telah menyebabkan penyerang tempatan terus tersisih dan seterusnya memberikan kesan terhadap skuad kebangsaan.

Selaku jurulatih skuad kebangsaan, Dollah perlu mencari solusi untuk memperbaiki jentera serangan yang kian tumpul semenjak kebelakangan ini. Berdasarkan senarai awal pemain yang terpilih, gandingan pemain utama yang akan mengemudi jentera serangan masih samar. Dollah mungkin mencari pemain yang miliki sentuhan penyudah di depan gol selain daripada aspek lain seperti bijak cari ruang dan peluang, keserasian, ‘work rate’ dalam padang dan sebagainya. Melihatkan aspek sentuhan jaringan, Norfarhan Mohammad ataupun pemain berusia seperti Indra Putra Mahyuddin mungkin terpilih untuk menjadi pengempur utama.

Norfarhan telah mengumpul lapan gol sepanjang tahun ini dan merupakan penjaring terbanyak penyerang tempatan dalam Liga Super dengan tujuh gol untuk Terengganu. Sementara Indra Putra pula telah menjaringkan 12 gol peribadi untuk kelabnya, Felda United. Penyerang yang menarik minat Dollah, Abdul Manaf Mamat pula telah menjaringkan lima gol bersama Terengganu dan Amri Yahya yang beraksi bersama JDT pula mengumpul tujuh gol sepanjang musim ini, namun kerap diturunkan selaku pemain sayap berbanding penyerang.

Sekiranya aspek lain diambil kira, Fauzi Roslan tidak harus dilupakan. Walaupun seperti Safee yang kerap tersisih, Fauzi atau lebih dikenali sebagai Koji ada nilai tersendiri untuk pasukannya, Pahang. Digelar ‘supersub’, kemasukan Koji ada memberi impak buat Pahang dengan aksi ‘comeback’ mereka dan telah mengumpul enam gol sepanjang tahun ini. Tidak dilupakan penyerang Kelantan, Ahmad Fakri Saarani yang telah menjaringkan sembilan gol sepanjang tahun ini. Kerap kali kehadirannya dalam skuad kebangsaan dipersoalkan, namun jika diambil kira aksinya sepanjang tahun, dia adalah antara penyerang tempatan yang menjadi penyumbang gol terbanyak selain Indra dan Norfarhan.

Sementara itu, Thailand yang kini dibimbing bekas penyerang import Perlis musim 1998-99, Kiatisuk Senamuang, setakat ini dilihat menyisihkan penjaring utama mereka, Teerasil Dangda yang beraksi bersama kelab Almeria di La Liga, Sepanyol. Teerasil merupakan penjaring terbanyak dalam edisi 2008 dan 2012, namun kurang beraksi di kelab barunya dengan hanya empat penampilan daripada bangku simpanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*