Home / Golf / #DoaBuatSHAABAN – Rakan Media tampil beri sokongan.

#DoaBuatSHAABAN – Rakan Media tampil beri sokongan.

Wakil RakanMedia Sdr Ismadi Manap dari RTM menyampaikan sumbangan kepada Ibu Shaaban. © KGSS

Wakil Rakan Media Sdr Ismadi Manap dari RTM menyampaikan sumbangan kepada Ibu Shaaban. © SSGC

KUALA LUMPUR, 26 April 2016: Kumpulan Rakan Media yang terdiri dari para pengamal media dari pelbagai agensi media yang aktif dalam sukan golf, tidak ketinggalan untuk turut sama membantu dan memberi sokongan dalam Kejohanan Golf Amal #DoaBuatShaaban yang berlangsung di Kelab Golf Seri Selangor, Kota Damansara, kelmarin.

Kejohanan Golf Amal #DoaBuatShaaban anjuran Kelab Golf Seri Selangor yang diadakan bertujuan untuk mengumpul sumbangan bagi membantu pemain golf negara Shaaban Hussin yang kehilangan kaki kiri akibat nahas jalan raya pada bulan lalu, berlangsung dalam suasana yang sederhana tetapi meriah dengan penyertaan seramai 252 pemain.

unnamed

Ketua Pegawai Eksekutif SACC Convec Sdn Bhd, Shuhainie Shamsudin, dan Pengurus Besar SSGC, Hairul Zaini, menyampaikan cek sumbangan kepada isteri Shaaban, Norazlina Nashrudin dan ibu pemain golf itu, Nordiah Mat ©SSGC

Diwakili oleh pengamal-pengamal media dari agensi media seperti RTM, Media Prima, Utusan Malaysia, Berita Harian, SukanMalaysiaDotMY,  MyGolf.com.my dan rakan-rakan sokongan media yang lain, Kumpulan Rakan Media berjaya mengumpul sumbangan berjumlah 1,210.00 untuk disampaikan kepada Ibu Shaaban, Puan Nordiah Mat.

Dalam program yang sama, Kelab Golf Seri Selangor (SSGC) turut menyampaikan hasil kutipan Kejohanan Golf Amal #DoaBuatShaaban dan hasil kutipan sumbangan orang ramai yang berjumlah RM40,500. Ketua Pegawai Eksekutif SACC Convec Sdn Bhd, Shuhainie Shamsudin, dan Pengurus Besar SSGC, Hairul Zaini, menyampaikan cek sumbangan tersebut kepada isteri Shaaban, Norazlina Nashrudin dan ibu Shaaban.

Shaaban, dalam rakaman video yang disiarkan pada majlis itu, turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, khususnya SSGC yang merupakan penaja beliau, rakan media dan peminat sukan golf yang terus memberi sokongan dan bantuan kepadanya.

Ketika ditemui, Ibu Shaaban, Nordiah Mat, terharu dengan doa, sokongan dan bantuan semua pihak ke atas anak beliau dan menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang membantu anaknya. Shaaban, 36, yang menaiki motosikal berkuasa tinggi terbabas semasa cuba mengelak sebuah kereta yang berhenti di tepi Lebuhraya Guthrie pada 31 Mac lalu.

#DoaBuatShaaban #BringBacktheSMILE