Home / Golf / #CIMBCLASSIC2016 – Justin kekalkan kejuaraan

#CIMBCLASSIC2016 – Justin kekalkan kejuaraan

Justin Thomas dari USA bersama trofi kemenangan selepas memenangi Kejohanan Golf PGA CIMB Classic 2016. Gambar oleh Arep KULAL / PGA Tour

Justin Thomas dari USA bersama trofi kemenangan selepas memenangi Kejohanan Golf PGA CIMB Classic 2016. Gambar oleh Arep KULAL / PGA Tour

KUALA LUMPUR: Pemain muda dari Amerika Syarikat, Justin Thomas mempertahankan kejuaraan yang dimilikinya tahun lalu, apabila sekali lagi mempamerkan permainan hebat untuk muncul juara buat kali kedua dalam Kejohanan Golf CIMB Classic 2016 yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai US$7 juta (RM29.33 juta) di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara, di sini, Ahad.

Pemain berusia 23 tahun itu melakarkan lapan bawah par 64 pada pusingan akhir, untuk mencatatkan jumlah keseluruhan 23 bawah par 265.

Hideki Matsuyama dari Jepun. Gambar oleh Arep KULAL / PGA Tour

Hideki Matsuyama dari Jepun. Gambar oleh Arep KULAL / PGA Tour

Thomas mengatasi pencabar terdekat, Hideki Matsuyama dengan kelebihan tiga pukulan selepas pemain Jepun itu turut melakukan catatan terendah lapan bawah par 64.

Pendahulu hari ketiga, Anirban Lahiri dari India sekadar berada di tempat ketiga apabila permainan hari terakhir beliau tidak konsisten dan sering sahaja melakukan kesilapan. Beliau berkongsi kedudukan dengan pemain Amerika Syarikat, Derek Fathauer, yang melakukan pukulan keseluruhan 269 pukulan.

Sementara itu, wakil negara, Gavin Kyle Green menamatkan saingan di tempat ke-69, berkongsi kedudukan dengan pemain Taiwan, Chan Shih-Chang dengan mengumpul 289 pukulan.