Home / Bola Sepak / CIMB LIGA SUPER MALAYSIA 2020 : RANGKUMAN PERLAWANAN PILIHAN LS3

CIMB LIGA SUPER MALAYSIA 2020 : RANGKUMAN PERLAWANAN PILIHAN LS3

Status Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pasukan elit negara nyata menyuntik semangat lawan untuk beraksi sebaik mungkin sebagaimana yang dibuktikan PDRM yang memaksa JDT berhempas pulas sebelum menang tipis 1-0.

JDT yang bertandang ke Stadium Bola Sepak Cheras bagi perlawanan ketiga pastinya cemas menentang PDRM.

Meski pun bermain tanpa Sapawi Rashid, JDT menguasai sebahagian besar perlawanan dengan mencipta beberapa peluang pada babak pertama namun terus buntu memecah gawang PDRM.

Ketangkasan penjaga gawang Bryan See Tian Keat PDRM menangkis serangan JDT menjadi faktor utama perlawanan berkesudahan tanpa jaringan pada babak pertama.

Bermula babak kedua perlawanan JDT terus rancak memburu gol pembukaan dengan kemasukan Gonzalo Gabrera dan Syafiq Ahmad.

Namun pertahana ampuh PDRM masih gagal ditembusi JDT sehinggalah enam minit sebelum wisel penamat penyerang import Diogo Santos menyumbat gol kemenangan buat JDT.

Foto : Zaid Ayid | Sukan Malaysia

Sementara itu selepas tumpas dua perlawanan sebelum ini Pahang mencatatkan kemenangan pertama menewaskan pendatang baharu Liga Super iaitu Sabah 2-0 di Stadium Darul Makmur.

Tuan rumah yang terdesar memburu kemenangan mempertaruhkan Ivan Carlos dan Mohamadou Sumareh untuk mengetuai jentera serangan.

Hasilnya pada minit ke-21 Ivan Carlos menjaringkan gol pendahuluan selepas menerima hantaran Sumareh.

Kembali selepas sepak mula babak kedua Pahang tidak menunggu lama untuk menambah gol kedua apabila pemain pertahanan Herold Goulon menyempurnakan sepakan penalti susulan kekasaran Wan Azraei keatas Carlos pada minit ke-50.

Kejayaan menewaskan Sabah 2-0 sudah cukup melegakan pengendalinya Dollah Salleh yang mana sebelum ini meluahkan kekecewaan berikutan prestasi hambar anak buahnya.

Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu gagal mencatat kemenangan ke atas pasukan Selangor apabila sekadar seri 3-3 dalam perlawanan ketiga bagi kedua-dua pasukan.

Pasukan tuan rumah, Terengganu menjaringkan gol menerusi Mohammad  Rahmat (minit 43), Sanjar (minit 54) dan Lee Tuck (penalti minit 90+4).

Foto : Robi Nordin | Sukan Malaysia

Manakala Selangor membalas menerusi Ifedayo (minit 39), Khyril Muhymeen (minit 52) & Brendan Gan (minit 70).

Foto : Zaid Ayid | Sukan Malaysia