Home / Bola Sepak / BERNHARDT TERAJUI UiTM FC BAGI MUSIM 2020

BERNHARDT TERAJUI UiTM FC BAGI MUSIM 2020

Bekas jurulatih skuad B23 negara Frank Bernhardt diberi kepercayaan untuk mengendalikan pasukan UiTM FC untuk mengharungi Liga Super musim ini.

Dengan kepercayaan yang diberi oleh satu-satunya pasukan universiti tempatan dalam Liga Super itu perlu memastikan pasukan itu kekal dalam Liga Super bagi musim 2021 nanti.

Majlis memperkenalkan ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan UiTM FC berlangsung siang tadi yang turut dihadiri presiden UiTM FC Prof Dr Azizan Abdullah dan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Unit Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia Dr Pekan Ramli.

Bernhardt diberikan tanggungjawab besar bukan saja perlu kekal dalam saingan Liga Super untuk musim 2021 malah perlu berada dalam kelompok 8 pasukan terbaik dan beraksi dalam Piala Malaysia musim ini.

Justeru itu jurulatih yang pernah mengendalikan skuad B23 negara pada tahun 2015-2017 itu kini giat memilih barisan terbaik pemain yang bakal menyarung jersi UiTM FC musim 2020.

Pemilihan Bernhardt menyaksikan UiTM FC muncul pasukan institusi pengajian tinggi pertama yang menerima bimbingan jurulatih asing.

UiTM yang menamatkan kempen tempat kelima pada saingan Liga Perdana musim lalu akan membuka tirai Liga Super musim ini menentang Melaka di Stadium UiTM Shah Alam pada 29 Februari depan.