Home / Bola Sepak / Bekalan tipis buat Perak ; amukan Tok Gajah di Melaka

Bekalan tipis buat Perak ; amukan Tok Gajah di Melaka

Juara bertahan musim lalu Perak bakal berhadapan tugas sukar apabila sekadar membawa pulang bekalan tipis menjelang perlawanan kedua di Stadium Shah Alam Ahad ini. Skuad bimbingan Mehmet Durokovic itu sekadar meraih kemenangan 1-0 di hadapan penyokong sendiri.

Manakala Pahang selesa mengatasi Melaka United di tempat lawan dengan keputusan 3-0 yang pasti kini sudah pun boleh dianggap sebelah kaki untuk ke separuh akhir.

Kelebihan beraksi di Stadium Hang Jebat nyata gagal dimanfaatkan Melaka United meskipun berjaya mengekang asakan Pahang pada 45 minit pertama.

Tuan rumah gagal mengekalkan rentak sejurus separuh masa kedua bersambung apabila Pahang hanya memerlukan 11 minit bagi membuka tirai jaringan menerusi Lazarus Kaimbi.

Hanya dua minit selepas itu tuan rumah terus dihukum dengan jaringan kedua lawan hasil penyudah baik Wan Zaharuniza Wan Zakaria.

Dickson Nwakame melengkapkan jaringan ketiga Pahang selepas menanduk masuk hantaran Sumareh pada minit ke-61.

Kelebihan tiga gol pastinya melonjak keyakinan Tok Gajah yang akan menanti kunjungan Melaka United di Kuantan 29 September ini.

Pada satu lagi aksi suku akhir juara bertahan Perak menewaskan Selangor 1-0 di Stadium Perak.

The Boss Gaurus bermula garang pada awal permainan dengan melakukan beberapa serangan dan hasilnya Brendan Gan berjaya meledakkan gol tunggal pada minit ke-12 menewaskan penjaga gol Selangor Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid.

Foto : Zaid Ayid

Selangor juga bangkit pada babak kedua namun buntu menembusi gawang tuan rumah. Keputusan kekal 1-0 memihak Perak dan kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada suku akhir kedua di Stadium Shah Alam juga 29 September ini.

Foto : Zaid Ayid

Sementara itu PKNP FC melengkapkan slot ke suku akhir Piala Malaysia dengan menundukkan PJ City FC 3-0 pada aksi terakhir kumpulan B selepas perlawanan ditangguhkan sebanyak dua kali disebabkan pemain PJ City FC yang dijangkiti virus Influenza B.

Pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung Jozef Pinto meletakkan PKNP di hadapan seawal minit ke-8 setelah memanfaatkan kelalaian benteng pertahanan PJ City FC.

Memasuki babak kedua menyaksikan kealpaan pelawat dihukum Khairul Ashraf Sahizah yang meletak jaringan kedua pada minit ke-46.

Dan Pinto melengkapkan kemenangan 3-0 PKNP FC apabila meledakkan gol kedua peribadi pada minit ke-61 perlawanan.