Home / Badminton / BAM GUGURKAN 7 PEMAIN SELARAS DENGAN PROJEK 24

BAM GUGURKAN 7 PEMAIN SELARAS DENGAN PROJEK 24

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan barisan baharu pasukan kebangsaan selaras dengan Projek 24 yang mensasarkan Sukan Olimpik dan Piala Thomas.

Penstrukturan semula oleh Jawatankuasa Kejurulatihan dan Pertandingan (C&T) itu juga menyaksikan seramai 7 pemain digugurkan.

Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Pertandingan BAM memperincikan Projek 24 yang dilancarkan September lalu.

Penstrukturan semula skuad kebangsaan membariskan seramai 31 pemain merangkumi 6 perseorangan lelaki, 5 perseorangan wanita, 11 beregu lelaki, 9 beregu wanita dan 8 beregu campuran manakala 7 lagi pemain digugurkan.

Pengguguran 3 pemain perseorangan lelaki itu serta masing-masing 1 beregu lelaki dan wanita dibuat berdasarkan faktor prestasi yang dinilai bagi tempoh 6 bulan dan setahun terakhir.

7 pemain yang digugurkan itu merangkumi tiga pemain perseorangan iaitu Soong Joo Ven, Tan Jia Wei,Muhammad Ziyad Md Tah serta dua pasangan beregu Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Lim Pei Yee-Lim Chiew Sien.

Prestasi pemain akan terus dipantau dari semasa ke semasa dan sesiapa yang berpotensi sama ada senior, remaja mahupun berstatus professional akan diserap bagi memperkuatkan pasukan kebangsaan dalam fasa berikutnya memandangkan persiapan bagi Sukan Olimpik 2024 dan Piala Thomas pada waktu itu sudah dimulakan dari sekarang.

Dalam pada itu kerancakkan persiapan skuad badminton negara menghadapi Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2020 dikejutkan dengan penarikan diri pemain perseorangan wanita Soniia Cheah.

Kecederaan saat akhir yang dialami Soniia menyaksikan tempatnya bakal diisi Goh Jin Wei.

BAM mengumumkan penarikkan diri Soniia Cheah dari pertandingan Perodua Malaysia Masters 2020 selepas disahkan mengalami kecederaan hamstring.

Ini sekaligus memberi peluang buat Goh Jin Wei yang sebelum ini berada dalam senarai simpanan untuk kembali beraksi.

Ia penampilan pertamanya sejak Jun lalu selepas mengalami masalah kesihatan.