Home / Bola Sepak / Badi Hanoi terus selimuti Harimau Malaya

Badi Hanoi terus selimuti Harimau Malaya

Impian Harimau Malaya menamatkan kemarau kemenangan di Hanoi lebur apabila terpaksa akur tewas tipis 0-1 kepada Vietnam.

Jaringan tunggal Nguyen Quang Hai pada babak pertama memastikan tuan rumah memadamkan impian skuad negara untuk meraih keputusan positif dan membawa pulang mata dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023.

Pasukan kebangsaan turun dengan keyakinan tinggi untuk menjerat Vietnam di laman mereka di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi.

Pada mulanya skuad bimbingan Tan Cheng Hoe kelihatan meyakinkan menerusi dua siri serangan yang hampir menggegar gawang tuan rumah namun ianya gagal disudahkan dengan baik menyaksikan kesilapan itu terlepas begitu saja untuk mengejutkan Naga Emas.

Minit ke-28 Stadium My Dinh bergempita selepas Nguyen Quang Hai menggegar gawang negara namun mujur ia dibatalkan kerana dikesan berada dalam kedudukan offside.

Dikala pemain negara bergelut untuk melepasi kawalan ketat pemain tuan rumah, Vietnam sekali lagi bergerak dengan gerakan yang sama bagi mencari jaringan.

Quang Hai berjaya menebus kekecewaan apabila meloloskan diri dan menyudahkan lambungan untuk meletakkan Vietnam 1-0 pada minit ke-40.

Barisan tuan rumah terus tidak memberikan ruang kepada skuad negara dalam separuh masa kedua.

Kebangkitan yang diharapkan tidak mampu diterjemahkan menyebabkan keadaan terus menekan pasukan negara.

Keghairahan menyerang hampir-hampir membawa padah namun cubaan Nguyen Quang Hai minit ke-72 berjaya diselamatkan oleh Shahrul Mohd Saad di atas garisan gol.

Vietnam mempertahankan kedudukan hingga tamat permainan membolehkan mereka ceria mengutip tiga mata penuh di laman sendiri.

Manakala kekalahan ini menyebabkan Harimau Malaya keciciran mata buat kali kedua selepas tewas kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1 bulan lalu.