Home / Lain - Lain / Azroy tetapkan sasaran dan misi baru

Azroy tetapkan sasaran dan misi baru

Atlet angkat berat negara Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad mahu menjadi rakyat Malaysia pertama meraih pingat pada Kejohanan Angkat Berat Dunia di Thailand September ini.

Ia adalah selepas Sukan Olimpik Tokyo tidak menyenaraikan kategori 55kg untuk acara lelaki yang diwakili Azroy sebaliknya bermula dengan 61kg.

Perkembangan itu tidak mematahkan semangat pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 itu yang berhasrat untuk cuba melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Pattaya, Thailand, September depan, selain berusaha menjadi atlet angkat berat Malaysia yang pertama meraih pingat di pentas terbabit.

Terlebih dahulu, Azroy serta rakan sepasukan yang lain akan bersaing dalam Kejohanan Angkat Berat Asia di Ningbo, China, bulan depan yang merupakan kejohanan antarabangsa pertama mereka selepas program sukan itu digantung sejak Jun tahun lalu gara-gara masalah doping.