Home / Lain - Lain / ATLET KEMBALI KE RUTIN LATIHAN NORMAL BERMULA JANUARI

ATLET KEMBALI KE RUTIN LATIHAN NORMAL BERMULA JANUARI

Atlet kebangsaan pastinya menarik nafas lega apabila boleh memulakan latihan harian seperti biasa secara sepenuh masa dan bukan lagi latihan secara quarantine base bermula Isnin depan.

Bagaimana pun menurut Pengarah Bahagian Atlet MSN Jefri Ngadirin menegaskan semua atlet membabitkan 700 atlet termasuk atlet podium dan pelapis serta para tetap perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

” Atlet di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang yang menjalani latihan secara kuarantin sejak Oktober telah diberikan cuti bermula Khamis lepas hingga 3 Januari.

Sejurus melapor diri ke pusat latihan pada 3 Januari kita akan membuat ujian Covid-19 untuk melihat sama ada mereka mematuhi SOP atau tidak ketika bercuti. Mereka kemudiannya boleh berlatih seperti biasa dan bukan lagi kuarantin”, ujar Jefri.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan pembukaan semula sektor sukan dan rekreasi bermula 1 Januari kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sementara itu Jefri berkata MSN akan menganjurkan bengkel bersama para Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) pada akhir Januari untuk membincangkan perancangan persiapan ke kejohanan utama seperti Sukan Olimpik, Paralimpik dan Sukan SEA pada 2021 diikuti SUKMA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada 2022.

MSN juga masih menunggu jadual kejohanan yang bakal ditentukan persatuan sukan antarabangsa dengan kejohanan peringkat antarabangsa dijangka kembali rancak secara berperingkat pada 2021 hasil penemuan vaksin selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.