Home / Hoki / ARUL SELVARAJ KETUA JURULATIH SKUAD LELAKI KEBANGSAAN YANG BAHARU

ARUL SELVARAJ KETUA JURULATIH SKUAD LELAKI KEBANGSAAN YANG BAHARU

KUALA LUMPUR (04 OGOS 2020) : Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerusi Presiden, Dato’ Sri Subahan Kamal mengumumkan perlantikan Arul Selvaraj sebagai Ketua Jurulatih Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan yang baru menggantikan Roelant Oltmans selepas kontrak Roelant bersama KHM ditamatkan menerusi persetujuan kedua-dua pihak.

Hari ini dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan kali kelima, satu perbincangan telah diadakan dengan kata sepakat dicapai untuk melantik Arul Selvaraj sebagai Ketua Jurulatih Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan berkuatkuasa serta merta.

Sebelum ini KHM telah mengumumkan bahawa Arul Selvaraj diserap masuk ke dalam struktur kejurulatihan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan sebagai Ketua Penolong Jurulatih yang akan berkuatkuasa 15 Ogos ini namun beliau akan hadir pada tarikh yang sama dengan jawatan yang berbeza iaitu sebagai Ketua Jurulatih.

Sementara menanti kehadiran Arul Selvaraj daripada Dublin, Ireland, tanggungjawab untuk meneruskan sesi latihan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan akan digalas oleh Penolong Jurulatih, Muhammad Amin Rahim bersama Nasihin Nubli Ibrahim.

“Hari ini KHM ingin mengumumkan secara rasmi Roelant Oltmans tidak lagi memegang jawatan Ketua Jurulatih Skuad Lelaki Kebangsaan dan ianya adalah berdasarkan persetujuan bersama antara kedua-dua pihak. Kami juga menghargai jasa beliau sepanjang dua tahun berkhidmat.

“Pihak KHM juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih di atas khidmat yang telah beliau berikan kepada skuad kebangsaan dan kami juga mengucapkan semoga berjaya kepada beliau dalam apa jua yang beliau lakukan selepas ini.

“Hari ini juga selepas Jawatankuasa Kejurulatihan bermesyuarat, kami secara rasminya melantik Arul Selvaraj sebagai Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang baru berkuatkuasa serta merta. Namun Arul akan memulakan tugasnya pada 15 Ogos ini selepas beliau menamatkan tempoh kuarantin wajib selepas tiba di Malaysia daripada Dublin.

“Arul diberikan kontrak dua tahun dan beliau akan mempersiapkan pasukan untuk kejohanan-kejohanan yang akan datang. Arul juga akan diberikan peluang untuk memilih pemain yang beliau rasakan perlu untuk berada di dalam pasukan kebangsaan.

“Dengan penganjuran Piala Tun Abdul Razak pada tahun ini, di mana kami telah membenarkan semua pemain kebangsaan untuk mewakili negeri masing-masing, kejohanan tersebut juga akan digunakan oleh Arul serta barisan kejurulatihannya untuk memilih pemain yang beliau rasakan patut berada di dalam skuad kebangsaan,” jelas Dato Sri Subahan kepada pemberita pada satu sidang media yang berlangsung hari ini.