Home / Lain - Lain / #ARRC – Maju Motor Pilih Akid dan Haziq

#ARRC – Maju Motor Pilih Akid dan Haziq

Mohd Akid Aziz (kiri) dan Mohd Haziq Mohd Fairues  diperkenalkan kepada media semasa sidang media. ©ARRC

Mohd Akid Aziz (kiri) dan Mohd Haziq Mohd Fairues diperkenalkan kepada media semasa sidang media. ©ARRC

KUALA LUMPUR, 28 March 2017 : Pasukan Uma Racing Yamaha Maju Motor memilih dua pelumba muda bagi menghadapi saingan kelas Underbone 150cc dalam siri Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang akan membuka tirai pada 31 Mac hingga 2 April ini di Litar Johor, Pasir Gudang, Johor.

Mohd Haziq Md Fairues ©ARRC

Mohd Haziq Mohd Fairues ©ARRC

Pasukan yang kini mendominasi siri perlumbaan tempatan meletakkan dua pelumba muda berbakat iaitu juara CP115 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2016 berusia 19 tahun, Mohd Akid Aziz bersama gandingannya, Mohd Haziq Mohd Fairues yang berjaya meraih dua podium pada saingan Underbone 130cc ARRC 2016.

“Akid dan Haziq mempamerkan prestasi di luar jangkaan kami dan ini merupakan masa sesuai untuk mendedahkan mereka dengan siri Kejuaraan Asia. Meskipun perlumbaan menggunakan jentera 150cc, namun kami fikir ia merupakan satu pendedahan berguna untuk karier mereka,” jelas pemilik pasukan Maju Motor, Yong Ying Hoe.

Mohd Akid Aziz ©ARRC

Mohd Akid Aziz ©ARRC

“Kedua-dua pelumba ini bersaing dalam kategori CP115 di Kejuaraan Cub Prix, jadi kemungkinan mereka memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri apabila beralih menggunakan jentera 150cc. Sewaktu ujian pra musim rasmi di Pasir Gudang, mereka ketinggalan satu saat di belakang pelumba terpantas namun kami yakin kedua-dua pelumba ini akan menimba pengalaman dan pendedahan terbaik apabila berhadapan dengan pelumba lain di pentas Asia terutama kepada Akid yang dipilih oleh Hong Leong Yamaha untuk menyertai Kem Master VR46 milik juara dunia, Valentino Rossi pada tahun ini.”

Saksikan aksi pelumba-pelumba Malaysia di Pusingan 1 Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Johor, Pasir Gudang, hujung minggu ini. Masuk adalah percuma.