Home / Bola Sepak / Analisa Pasukan Piala Malaysia – Kumpulan D

Analisa Pasukan Piala Malaysia – Kumpulan D

Lions XII © Arep Kulal
LIONS XII 
Jurulatih: V. Sundramoorthy 
Pemain Bintang: Shahril Ishak 
Status selaku juara baru liga Super meletakkan anak buah V.Sundramoorthy antara pilihan utama melepasi halangan kumpulan D. Setelah gah menawan liga Super, Lions XII pastinya bernafsu besar untuk memahat nama selaku juara Piala Malaysia. Kelebihan beraksi di padang rumput tiruan di Stadium Jalan Besar cukup memberi impak dalam cabaran mereka. Berbekalkan barisan muda dan berpengalaman, Lions XII yang cukup kebal di laman sendiri pasti tidak akan menghampakan peminat mereka. Diketuai oleh Shahril Ishak, Lions XII dijangka mendapat tentangan sengit oleh pasukan dalam kumpulan ini.
PERAK 
Jurulatih: Mohd Azraai Khor Abdullah 
Pemain Bintang: Shahrulnizam Mustapha
Perak menamatkan saingan Liga Super 2013 di anak tangga ketujuh dan pasukan Sang Seladang ini dilihat tidak konsisten dalam cabaran mereka. Selepas tersingkir awal dalam saingan Piala FA, anak buah Mohd Azraai Khor melihat saingan Piala Malaysia adalah medan terbaik untuk mereka membuktikan sesuatu. Bekas pengendali pasukan Negeri Sembilan itu akur dengan rentetan kecederaan yang melanda pemain utama mereka sehingga terpaksa bergantung harap kepada beberapa orang pemain dari skuad Piala Presiden sepanjang saingan liga Super. Pasukan Perak dijangka mampu ke peringkat suku akhir jika keseluruhan pasukan berada dalam prestasi terbaik.
SARAWAK 
Jurulatih: Robert Albert 
Pemain Bintang: Joseph Kallang Tie
Kejayaan Sarawak muncul juara liga Premier musim ini adalah azimat terbaik buat pasukan bimbingan Robert Albert dalam mengharungi saingan Piala Malaysia. Rekod tanpa kalah sepanjang liga cukup menceritakan wibawa dan kekuatan yang ada pada pasukan Sarawak. Diperkasakan dengan kembalinya bekas pemain Terengganu,Joseph Kallang Tie dan sentuhan penyudah penyerang berbisa mereka, Bobby Gonzalez, kelibat Sarawak perlu diberi perhatian seandainya pasukan lain dalam kumpulan ini tidak mahu berputih mata.
Kedah FA © kootation.com

KEDAH 

Jurulatih: Datuk Ahmad Shafiee
Pemain Bintang: Khyril Muhymeen Zambry 
Pasukan Kedah terpaksa menagih kembali sentuhan bekas pengendali mereka, Datuk Ahmad Shafiee bagi membawa cabaran skuad Hijau Kuning dalam pentas Piala Malaysia kali ini. Setelah gagal dalam misi kembali ke Liga Super musim hadapan, Kedah sedar mereka bakal menempuh ranjau berliku untuk meloloskan diri dalam pertarungan peringkat kumpulan. Pasukan Kedah dilihat masih bergantung harap kepada kelibat pemain berpengalaman seperti Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Khyril Muhymeen Zambri untuk memastikan Sang Kenari mampu terbang tinggi dalam kempen musim ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*