Home / Lain - Lain / Al-Sultan Abdullah : Tokoh sukan berjiwa rakyat

Al-Sultan Abdullah : Tokoh sukan berjiwa rakyat

Merafak sembah tahniah atas pemilihan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Yang Dipertuan Agong Ke-16. Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara.

Baginda disifatkan sebagai seorang yang berjiwa rakyat dan mudah didekati serta merupakan seorang tokoh sukan yang professional dalam menjalankan tugas.

Tambahan baginda juga sangat berfikiran terbuka ketika menerajui FAM dan senang menerima pandangan di peringkat akar umbi untuk memajukan bola sepak negara.

Pemilihan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah satu catatan sejarah bermakna buat arena sukan tanah air.

Ini kerana baginda dikenali sebagai raja yang cukup aktif dalam pentadbiran sukan terutamanya bola sepak dengan pernah menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) daripada 2014 hingga 2017.

Baginda juga pernah menyandang jawatan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan aktif dalam sukan polo.

Sultan Abdullah turut disanjung tinggi beberapa pemimpin sukan dunia sehingga dipilih sebagai exco Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF).

Al-Sultan Abdullah menjadi Presiden KHM dari 2008 hingga 2015. Sepanjang penglibatan baginda dalam sukan hoki pelbagai kejayaan dicapai skuad remaja dan senior negara.


Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ketika mencemar duli merasmikan majlis pecah tanah Stadium Hoki Tengku Abdullah di Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute, Bangi pada 2015

Dalam sukan polo, baginda merupakan Presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia (RMPA) dan Presiden Kelab Polo Diraja Pahang (RPPC) selain memegang jawatan presiden bagi beberapa sukan lain seperti Kelab Skuasy Pahang (PSC), Kelab Golf Diraja Pahang (RPGC) dan Kelab Menembak Diraja Pahang. 

Antara pencapaian baginda di peringkat antarabangsa ialah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kejohanan Bola Sepak Remaja Dunia FIFA 1997 sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah; anggota Jawatankuasa Penganjur Piala Konfederasi FIFA 2003 di Paris; Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Piala Dunia Polo FIP 2011 di Malaysia; Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres FIH 2012 di Kuala Lumpur; Pengerusi Piala Asia AFC 2015 di Australia dan anggota Jawatankuasa Penganjur Bola Sepak Piala Dunia 2018 di Rusia.

Rata-rata penggiat sukan menzahirkan rasa bangga dan menyifatkan pelantikan Yang di-Pertuan Agong baharu itu adalah hadiah buat warga sukan kerana baginda merupakan seorang tokoh sukan berwibawa dan banyak berjasa kepada arena sukan negara.