Home / Bola Sepak / “Agak Mudah Bagi Kami” – Syria

“Agak Mudah Bagi Kami” – Syria

BOLA SEPAK MALAYSIA / SYRIAArtikel Oleh : Al-Zaem

Bukit Jalil, 13 November 2014 : Jika ini adalah skuad yang akan membawa cabaran Malaysia di kejohanan Piala AFF Suzuki 2014, penghujung bulan ini, bersiap sedialah untuk kemungkinan ‘bungkus awal’. Aksi cukup mengecewakan telah ditampilkan barisan pemain Harimau Malaya dalam aksi pemanas badan menentang Syria yang berakhir dengan Malaysia tumbang 0-3 kepada lawan dalam aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kekalahan yang sudah dijangka namun tidak dijangka semudah itu skuad kendalian Dollah Salleh tunduk kepada lawan yang kali terakhir beraksi sekitar Mac tahun ini. Ini turut diakui jurulatih Syria, Muhannad Al Fakeer sejurus perlawanan berakhir. “Saya jangkakan perlawanan yang sengit malam ini (semalam), tapi bila permainan bermula segalanya agak mudah buat kami,” jelas Al Fakeer sambil memuji anak buahnya kerana berjaya bermain dengan baik dan mencapai misi untuk meraih kemenangan.

Walaupun aksi sedikit terganggu dengan hujan lebat dalam babak pertama, namun Syria tetap menampilkan aksi menarik mengasak Harimau Malaya. Syria mengesahkan kemenangan menerusi jaringan Nadim Sabag pada minit ketiga, Sanharib Malki (47’) dan Omar Khrbin (65’). Ini merupakan kekalahan ketiga skuad kebangsaan selepas jurulatih berpengalaman, Dollah Salleh mula mengambil alih pada penghujung Jun yang lalu. Malaysia sebelum ini tewas 1-4 kepada Tajikistan dan tunduk 0-2 kepada musuh serantau, Indonesia.

Kesemua pemain negara wajar mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku semalam. Bilangan jaringan bukan penyebab utama kekecewaan rata-rata penyokong dan pemerhati bolasepak negara, namun aksi sambil lewa, longlai, tiada arah tuju dan longgar yang telah mengecewakan mereka. Dollah juga nyata kecewa dengan aksi yang ditunjukkan para pemainnya.

Sebelum ini, kegusaran hanya di posisi serangan yang tumpul dan ketiadaan watak peledak, namun aksi semalam mendedahkan pelbagai lagi kelemahan skuad kebangsaan. “Saya kecewa dengan apa ditunjukkan pemain kita, khasnya dalam babak kedua. Pemain seperti hilang punca. Pemain juga banyak leka dan ini bukan sahaja bahagian benteng tapi juga tengah dan jentera serangan. Semua bahagian mengecewakan,” ulas jurulatih berusia 51 tahun itu. “Saya tetap yakin dengan kemampuan pemain saya dan mereka boleh bermain lebih baik di Piala AFF,” tambah Dollah yang tetap menaruh keyakinan tinggi terhadap anak buahnya.

Skuad kebangsaan akan menentang Vietnam pada Ahad ini untuk pemanas badan terakhir sebelum Dollah memilih 22 pemain terbaiknya untuk dibawa ke Piala AFF. Malaysia diundi dalam Kumpulan B dan akan menentang Myanmar pada 23 November ini, diikuti pertemuan dengan Thailand pada 26 November sebelum menentang tuan rumah, Singapura pada 29 November.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*