Home / Bola Sepak / #AFFSUZUKICUP2018 Harimau Malaya tawan Gajah Perang

#AFFSUZUKICUP2018 Harimau Malaya tawan Gajah Perang

Pemain Malaysia Muhammad Syahmi Safari meraikan gol pertama pasukan Malaysia dalam perlawanan menentang Thailand. Gambar oleh Khairil Ajhar / SukanMalaysiaDotMy

BANGKOK 5 Disember 2018: Skuad bola sepak negara berjaya mengikat Thailand dengan keputusan 2-2 dalam perlawanan separuh akhir kedua kejohanan bola sepak AFF Suzuki 2018 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok. Keputusan seri ini  menyaksikan skuad Harimau Malaya berjaya menempah tiket perlawanan akhir dengan menanti keputusan pemenang perlawanan separuh akhir kedua  di antara Vietnam menentang Filipina.

Ekor Harimau Malaya antara faktor kemaraan pasukan Malaysia ke final. Gambar Khairil Ajhar / SukanMalaysiaDotMy

15 minit pertama perlawanan menyaksikan Thailand seakan-akan masih belum dapat menyesuaikan diri dengan situasi perlawanan walaupun beraksi di hadapan penyokongan sendiri. Kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh skuad negara untuk mengasak dan menguji benteng pertahanan Thailand.

Walaupun kedua-dua pasukan berbalas-balas serangan selepas itu, Thailand terlebih dahulu membuka tirai jaringan hasil jaringan sendiri oleh Ifran Zakaria pada minit ke-21. Gol jaringan sendiri ini terhasil hasil biasan rentetan kesilapan Faizal Marlias yang teragak-agak mengeluarkan bola hasil lencongan pemain Thailand di sebelah kiri pintu gol Malaysia.

Tersentak dari gol tersebut, Malaysia terus melipatgandakan serangan dan hasilnya gol penyamaan yang ditunggu-tunggu kunjung tiba selang 7 minit kemudian menerusi Muhammad Syahmi Safari. Gol cantik berkelas antarabangsa itu hasil kerjasama yang efektif menerusi pendakian dari barisan pertahanan ke bahagian pertengahan padang dan seterusnya disempurnakan dengan tenang oleh Syahmi menerusi tendangan kencang menggunakan kaki kanan menerjah penjuru kanan pintu gol Thailand.

Kedudukan 1-1 ini kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Di separuh masa kedua, menyedari bahawa Malaysia hanya memerlukan dan mengharapkan keputusan seri sahaja, Thailand dilihat lebih agresif melancarkan serangan ke kubu Malaysia menerusi hantaran lintang yang tajam ke pintu gawang Malaysia.

Hasilnya, Thailand berjaya menambah jaringan kedua di minit ke-71 perlawanan menerusi Pansa Hemviboon menerusi tandukan kencang hasil situasi kelam kabut dan kelekaan barisan pertahanan Malaysia di depan pintu gol.

Walaupun ketinggalan, Malaysia tidak berputus asa dan berjaya menyerap tekanan untuk terus berusaha  mencipta gol penyamaan. Hasilnya, gol yang dinantikan tiba pada minit ke-71 hasil cetakan penyerang prolifik negara iaitu Norshahrul Idlan menerusi rembatan kencang sebelah kanan pintu gol Thailand hasil gerakan cantik cetusan kreatif Sumareh.

Jaringan penyamaan itu memberi sinar harapan buat Harimau Malaya dan seterusnya pasukan negara menukar taktik dengan memperlahankan tempo perlawanan dengan lebih banyak bertahan dan sesekali melakukan serangan.

Perubahan kepada corak bertahan ini hampir memakan diri sendiri apabila Thailand memperolehi sepakan penalti pada minit terakhir masa kecederaan hasil kesilapan Syahmi yang menampan bola menggunakan tangan.

Namum hanya tuah menyebelahi Malaysia apabila ayam tambatan Thailand iaitu Adisak Kraisorn gagal menyempurnakan peluang yang terhidang apabila sepakan penaltinya tinggi melepasi palang gol dan seterusnya memuktamadkan Malaysia layak ke perlawanan akhir.