Home / Bola Sepak / #AFFSUZUKI2018 : Tiada Bekalan Istimewa buat Harimau Malaya ke Rajamangala

#AFFSUZUKI2018 : Tiada Bekalan Istimewa buat Harimau Malaya ke Rajamangala

Norshahrul Idlan Talaha dikawal ketat pertahanan Thailand di Stadium Bukit Jalil. Gambar © Khairil Ajhar / SukanMalaysiaDotMY

Oleh : Mrizalar
BUKIT JALIL 2 Disember 2018 : Walaupun Harimau Malaya menguasai 63.2% dari segi possesi bola dan menterjemahkan gaya permainan menerusi hantaran yang tepat, namun situasi ini masih belum mencukupi buat Malaysia bagi mengatasi Thailand dalam perlawanan separuh akhir pertama Bolasepak Piala AFF Suzuki.

Keputusan seri tanpa jaringan bertemu Thailand memberi tekanan buat Malaysia kerana tiada bekalan yang selesa untuk bertandang ke negara Gajah Putih pada perlawanan separuh akhir kedua pada 5 Disember nanti. Penyerang negara yang diketuai oleh Muhammad Safawi Rasid dan Mahamadou Sumareh gagal membolosi gawang Thailand walaupun Malaysia memiliki 23 percubaan ke arah gol.

Safawi Rashid gagal menyerlah dan gagal menyudahkan peluang dihadapan pintu gol Thailand. Gambar © Khairil Ajhar / SukanMalaysiaDotMY

Peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke-25 menerusi Sumareh yang menerima hantaran dari Safawi namun percubaannya sekadar melintasi tiang gol sebelah kanan Thailand.
Di separuh masa kedua, Norshahrul berpeluang menambah koleksi gol kelima peribadi tatkala bola lambung hantaran Zaquan yang disudahinya sekadar melewati palang gol pada minit ke-65 perlawanan. Filosofi penguasaan bola dibuktikan Malaysia dalam perlawanan ini namun Thailand tidak memberi sebarang peluang buat pasukan negara untuk mencetak sebarang jaringan sehinggalah tamat perlawanan seterusnya mengecewakan 87,545 penyokong yang hadir.
“Keputusan ini adalah proses pembelajaran buat semua pemain. Kredit juga harus diberikan buat semua pemain yang berusaha bertungkus lumus mencipta peluang menjaringkan gol sehingga tamat 90 minit perlawanan. Mereka bermain dalam perlawanan yang berintensiti tinggi dan seharusnya kami perlu lebih tajam untuk mencipta komposisi mencipta gol.Harapan saya agar semua pemain dapat menyerap tekanan pada perlawanan seterusnya di Bangkok”, ujar Tan Cheng Ho selepas perlawanan.
Malaysia akan bertemu Thailand pada hari Rabu ini 5 Disember, di Stadium Rajamangala, Bangkok bagi penentuan ke perlawanan akhir.