Home / Bola Sepak / 19 Pengadil Malaysia terpilih berada dalam senarai Pengadil FIFA bagi tahun 2021

19 Pengadil Malaysia terpilih berada dalam senarai Pengadil FIFA bagi tahun 2021

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan sukacitanya mengumumkan bahawa seramai 19 orang pengadil dari Malaysia telah dipilih dan diperkenankan oleh Panel Pengadil Antarabangsa, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk didaftarkan sebagai Pengadil FIFA bagi tahun 2021 ini.

Mereka yang dipilih itu terdiri daripada lima orang Pengadil, sembilan orang Penolong Pengadil termasuk seorang wanita, tiga orang Pengadil Futsal dan dua orang Pengadil Bola Sepak Pantai.

Bagi kategori Pengadil, lima individu berkenaan ialah Mohd Amirul Izwan Yaacob yang merupakan Pengadil FIFA sejak 2012, Mohd Nazmi Nasaruddin (sejak 2016), Suhaizi Shukri (sejak 2011), Razlan Joffri Ali (sejak 2018) dan Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah (sejak 2019).

Kategori Penolong Pengadil dibarisi oleh Mohd Yusri Muhamad, Mohd Muazi Zainal Abidin, Mohd Shahreen Che Omar, Mohd Harif Md Akhir, Mohd Arif Shamil Abd Rasid, Mohd Zairul Khalil Tan, Mohd Farhan Abdul Aziz, Muhamad Shafiq Ahmad Said dan seorang penolong pengadil wanita, Nur Akmal Anuar.

Tiga Pengadil Futsal pula terdiri daripada Helday Idang, Mohd Ridzuan Rozali dan Mohd Norafendy Norhayalan manakala dua Pengadil Bola Sepak Pantai menampilkan Suhaimi Mat Hassan dan Wan Mohd Tarmizi Wan Ibrahim.

Di samping itu, Mohd Amirul Izwan turut telah ditauliahkan untuk dilantik sebagai Video Match Official (VMO), manakala Mohd Yusri telah memperoleh tauliah sebagai Penolong Pengadil bagi perlawanan yang melibatkan Video Assistant Referee (VAR).

Untuk makluman, bagi seseorang pengadil itu dilantik menjadi VAR, mereka harus mengikuti kursus dan perlu ditauliahkan oleh panel VAR dari FIFA sebelum boleh dilantik menjadi VAR atau AVAR. Begitu juga dengan pengadil dan penolong pengadil bagi perlawanan yang melibatkan VAR.

Mohd Amirul Izwan, 35, yang menetap di Ipoh, Perak merupakan seorang pegawai polis di Pasukan Gerakan Am. Beliau yang dipilih oleh panel FIFA sejak 2012 telah mengadili perlawanan dalam beberapa kejohanan utama seperti Piala Dunia B-17 2015 di Chile, Kejuaraan B-19 AFC 2014 di Myanmar dan juga Final Liga Juara-Juara AFC 2020 selaku Pembantu VAR.

FAM sentiasa mendokong aspek pembangunan pengadil dari semua peringkat kerana percaya pengadil merupakan nadi kepada pembaharuan pembangunan bola sepak melalui DNA Peta Hala Tuju F:30 yang telah dirangka oleh FAM.

Setiap peluang pembangunan dan ruang kerjasama akan digunakan sebaik mungkin untuk melihat pengadil-pengadil Malaysia berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pengadil-pengadil tersohor dari persada dunia.

Berpaksikan falsafah DNA F:30 itu, FAM telah merangka penumpuan kepada semua kategori pengadilan termasuklah Futsal, Bola Sepak Pantai dan Pembangunan Pengadil Wanita.

Helday sebagai contoh, seorang anggota Polis berpangkat Inspektor sebagai Pengadil Futsal yang sentiasa mendapat kepercayaan AFF dan AFC bagi kejohanan-kejohanan futsal serantau Asia. Beliau menyatakan bahawa tugasan beliau sebagai seorang Inspektor Polis membantu beliau dalam memahami karakter seseorang pemain dalam gelanggang. Ini secara tidak langsung membantu beliau mengadili perlawanan dengan berkesan.

Pengadil Bola Sepak Pantai pula menampilkan wajah yang tidak asing di persada bola sepak pantai dunia iaitu Suhaimi yang telah mengadili empat edisi Piala Dunia Bola Sepak Pantai pada tahun 2011, 2013, 2015 dan 2019 di Paraguay yang mana beliau terpilih bertugas pada aksi final menemukan Itali dan Portugal. Kepakaran beliau dalam arena bola sepak sentiasa ditagih di peringkat antarabangsa. Disiplin diri dan fokus merupakan aspek yang sentiasa menjadi azimat beliau dalam karier pengadilan.

Semoga kesemua 19 orang pengadil yang dipilih oleh FIFA ini dapat menjalankan tugas masing-masing dengan baik dan cemerlang di sepanjang tahun 2021 ini demi membawa nama Malaysia di persada antarabangsa.