Home / Lain - Lain / WX-R VOLTEQ SENJATA BAHARU PASUKAN BASIKAL TREK NEGARA KE SUKAN OLIMPIK

WX-R VOLTEQ SENJATA BAHARU PASUKAN BASIKAL TREK NEGARA KE SUKAN OLIMPIK

Buruan emas sulung negara di pentas Olimpik memasuki langkah baharu apabila sempurnanya projek pembangunan basikal trek sendiri yang akan digunakan pelumba negara.

Selepas tiga tahun dibangunkan di United Kingdom dengan kos penyelidikan dan pembangunan mencecah RM13 juta, basikal yang dinamakan WX-R Volteq itu dilancarkan hari ini dan seterusnya bakal menjadi senjata baru kem basikal trek kebangsaan di Tokyo nanti.

Projek dengan kerjasama Institut Sukan Negara (ISN) yang bergandingan dengan TOTALSIM Limited yang berpengkalan di United Kingdom membangunkan basikal ini buat pelumba negara yang mempunyai kepakaran dalam kejuruteraan aerodinamik.

Projek yang mendapat pembiayaan Kementerian Belia dan Sukan Negara (KBS) itu bermula sejak 2017 di Silverstone menerusi program penyelidikan dan pembangunan untuk membentuk jentera terbaik membantu pelumba mengikuti jejak langkah negara-negara handalan lain yang sudah lama melakukannya.

Basikal yang terhasil dari titanum carbon fibre telah pun menuai hasilnya apabila digunakan buat kali pertama pelumba negara Mohd Azizulhasni Awang di Kejohanan Dunia di Berlin minggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli, berkata kerajaan Malaysia melalui Program Podium mengambil langkah proaktif menggunakan teknologi terkini dalam perlumbaan trek untuk membantu Malaysia merealisasikan impian di Sukan Olimpik berkenaan.

Basikal yang direka mengikut kesesuaian tiga pelumba negara iaitu Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Zonis, diperbuat daripada bahan karbon fiber yang lebih keras tetapi ringan dengan menggunakan teknologi aerodinamik terkini untuk memastikan rintangan angin lebih rendah.

Malaysia mempunyai empat slot dalam acara basikal trek di Sukan Olimpik Tokyo sekaligus bakal mempertaruhkan kayuhan baru menerusi acara Keirin dan Pecut.

Berdasarkan syarat Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), jentera yang digunakan bagi Sukan Olimpik perlu berada di pasaran, dan basikal model WX-R Vorteq itu sudah berada di pasaran sejak 1 Januari lalu dengan sebuah basikal berharga RM300,000.

Basikal berkenaan juga telah menarik minat pasukan dari Lithuania dan Greece.