Home / Hoki / Wira Hoki Negara selamat disemadikan

Wira Hoki Negara selamat disemadikan

Melaka Tengah: Mayat mendiang pemain hoki kebangsaan, Chua Boon Huat, 33, selamat disemadikan di Melaka Memorial Park, Sungai Putat di sini, petang semalam.

Terdahulu, upacara sembahyang dan keagamaan dijalankan di rumah keluarga Boon Huat di Taman Semabok Perdana, di sini, sebelum keranda mendiang yang dibaluti Jalur Gemilang diarak sejauh 500 meter dengan diiringi pasukan pancaragam.

Hadir sama memberi penghormatan terakhir Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Raja Puan Sri Noorashikin Raja Abdullah; Naib Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad; Setiausaha Agung Persekutuan Hoki Asia (AHC), Tan Sri P Alagendra dan ketua jurulatih skuad hoki negara, Paul Revington. Selain pemain hoki kebangsaan, bekas jurulatih dan bekas pemain serta rakan turut mengiringi keranda mendiang.

Abang sulung Boon Huat, Aliff Nur Najmi Chua, 42, yang beragama Islam berkata, beliau sekeluarga masih bersedih dengan kehilangan mendiang secara tiba-tiba.

“Untuk Aidilfitri kali ini tentunya agak hambar bagi saya dan keluarga dengan ketiadaan mendiang. Memang terasa sesuatu yang kurang berbanding tahun terdahulu, namun sambutan raya terpaksa diteruskan. Kami akan merinduinya.

“Kami sekeluarga akan sentiasa merindui segala-gala mengenai mendiang terutama kelakuan dan apa yang dia suka makan selama ini,” katanya sebak.

Khamis lalu, Boon Huat maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 10.4, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran Stesen LRT Kelana Jaya, Selangor, pada jam 2.25 pagi.

Dia mati di tempat kejadian akibat cedera parah di tengkuk selepas Proton Perdana dipandunya melanggar belakang lori tangki air yang sedang menyiram pokok bunga. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*